Satu masa dahulu, dunia bola sepak dipersembahkan dengan kehadiran bakat dari Brazil yang bernama Adriano.
Beliau merupakan pemain yang cukup sinonim dengan kelab Itali, Internazionale dan mempunyai potensi yang cukup tinggi untuk menjadi penyerang terbilang.
Namun begitu, jalannya tidak lama kerana ianya berakhir di tengah jalan.
Menurut laman Football Italia, Adriano membuka kisah bagaimana satu peristiwa berjaya memusnahkan karier beliau.
Perisitiwa tersebut adalah kematian ayahnya yang mendorong kepada depresi dan juga ketagihan alkohol Adriano.
Adriano mengakui dirinya berasa kesunyian selepas kematian ayahnya, dan sakit itu hanya beliau yang rasa.”
“Kematian ayah saya merupakan satu ujian besar buat saya. Saya berasa cukup sunyi kerana selapas kematian ayah saya, saya mula mengasingkan diri. Semuanya semakin teruk.”
“Saya sendirian di Itali, sedih dan depresi dan kemudiannya saya mula minum.”
“Hanya saya sahaja tahu peritnya menghadapi perkara ini.”
Adriano mendedahkan beliau tidak kisah membazirkan wang sehingga mencecah nilai jutaan sekali pun kepada minuman keras, asalkan dirinya bahagia.
“Saya cuma gembira apabila mula minum. Setiap malam saya akan minum.”
“Saya akan minum semua minuman yang saya boleh dapatkan, tidak kiralah sama ada ianya wain, whisky, vodka atau pun bir. Bir yang sangat banyak.”
“Kerana terlalu banyak minum, saya pergi tinggalkan Internazionale.”
“Di Brazil, saya habiskan sampai berjuta wang untuk ini tapi saya tidak kisah. Kerana saya gembira.”