Dimana ’10 Pemain SCL Yang Berpotensi Menjadi Pemain Profesional’ Berada Sekarang?

Tahun lepas, kami ada menulis artikel yang bertajuk ’10 Pemain Selangor Champions League Yang Berpotensi Menjadi Pemain Profesional’ sempena kejohanan Selangor Champions League 2017 (SCL2017) yang berlangsung. Dalam artikel tersebut, kami mengketengahkan 10 pemain yang kami rasakan mempunyai kualiti untuk bermain di peringkat profesional.

Kini 8 bulan selepas artikel ini diterbitkan, anda pasti tertanya-tanya: di mana 10 pemain ini berada sekarang? Jadi kami menjejaki semua pemain ini semula untuk mengetahui perkembangan terkini mereka.

1. Muhammad Haedar bin Abdul Halim (Kajang Ultimate FC)

Posisi: Penyerang sayap, Bek sayap
Umur: 25

Aksi Haedar Abdul Halim bersama Ingress RMFC di Subang Football League.

Selepas menyerlah sepanjang kejohanan SCL2017, profil Haedar meningkat sehingga beliau menjadi pemain paling dikehendaki oleh pasukan-pasukan besar dalam arena bola sepak amatur Selangor. Axis O2 FC adalah salah satunya apabila menggunakan servisnya dalam perlawanan pusingan satu dan kedua Piala FA Malaysia 2018. Khidmat Haedar akan diperlukan Axis O2 sekali lagi untuk kempen Selangor Champions League 2018 nanti.

Selain Axis O2, Ingress RMFC juga adalah sebuah lagi pasukan yang menggunakan khidmat beliau untuk kempen Subang Football League (Liga M5) mereka.

2. K. Aathishesaan (Naga FC)

Posisi: Penyerang sayap
Umur: 20

K. Aathishesan kini melebarkan sayap beliau bersama skuad Piala Presiden MIFA FC.

Selepas kempen SCL2017 beliau bersama Naga FC berakhir, Aathi mendapat tawaran sesi percubaan bersama pasukan Liga Super, PKNP FC. Bagaimanapun kecederaan pangkal paha memaksa beliau untuk melepaskan peluang tersebut.

Kini Aathi bermain bersama skuad Piala Presiden MIFA FC. Beliau juga bertindak sebagai kapten pasukan. Beliau turut bakal beraksi dalam SUKMA nanti bersama skuad Perlis.

3. Indera Sukma Hashim (PJ Level Up FC)

Posisi: Bek kiri
Umur: 28

Indera Sukma bergambar bersama pengadil sebelum playoff SCL2018.

Indera masih lagi bermain bersama Level Up FC. Ketika playoff SCL2018 baru-baru ini, beliau mewakili pasukan BU Eagles yang tewas 2-3 perlawanan penentuan playoff SCL2018 menentang KRU FC. Ini bermakna aksi beliau tidak dapat disaksikan dalam kejohanan SCL2018 nanti.

Di Subang Football League, beliau mewakili pasukan Subang United FC.

4. Muhammad As’syaqireen bin Hasnoddin (Shah Alam Condoh FC)

Posisi: Pertahanan tengah
Umur: 25

Aksi Syaqireen bersama Melawati FC baru-baru ini.

Selepas kelab lama beliau Condoh FC dibubarkan, Qireen menyertai pasukan Southern FC yang terlibat dalam perlawanan pusingan satu dan kedua Piala FA Malaysia 2018. Beliau kemudiannya berubah haluan dengan menyertai Melawati FC yang bersaing dalam kempen Selangor Social Premier League (Liga M5) dan Axis O2 FC pula untuk kempen SCL2018 nanti.

5. Ku Mohammad Nazran (Shah Alam Antlers FC)

Posisi: Pemain no.10, Regista, Perancang tengah
Umur: 20

Kecik (hadapan, 3 dari kiri) bersama skuad Piala Presiden PDRM sebelum menentang Sarawak FA.

Selepas kempen SCL2017 tamat, pemain yang mesra dipanggil Kecik ini menyertai sesi percubaan beberapa pasukan Liga Premier seperti UKM FC dan Felcra FC. Rezeki beliau akhirnya membawanya ke skuad Piala Presiden PDRM.

Persembahan Kecik turut mendapat perhatian negara apabila dipilih menyertai skuad Malaysia bawah-21 pada Mac 2018 lepas.

6. Razzmir Ashraff (Subang Protap FT)

Posisi: Pemain no.10, Penyerang tengah
Umur: 26

Razz bakal terlepas aksi SCL2018 selepas pasukan barunya, SOA FC terkandas dalam penentuan playoff SCL2018 (KVL Division 1) menentang Axis O2 FC. Beliau masih lagi beraksi untuk Protap FT dalam saingan Shah Alam League (Liga M5) ketika ini.

7. Muhammad Farhan bin Khairul Anuar (Axis O2 PJ FC)

Posisi: Penyerang sayap
Umur: 20

Khidmat Farhan masih diperlukan oleh Axis O2 meskipun beliau sibuk dengan komitmen pelajarannya di Pahang.

Kehidupan Pemain Terbaik Kejohanan ini tidak banyak berubah meskipun mendapat banyak tawaran sesi percubaan daripada pasukan-pasukan profesional. Komitmen pelajarannya di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah memaksa beliau menolak tawaran tersebut.

Bagaimanapun ia masih tidak menghalang Farhan untuk memberikan komitmen kepada pasukan futsal Pahang yang bersaing di Liga Futsal Kebangsaan 2018 dan Axis O2 FC pada SCL2018 nanti.

8. Wan Muhammad Iqmal (Hartamas Rebel FC)

Posisi: Penyerang sayap, Pemain no.10, Pemain tengah
Umur: 20

Banyak menghabiskan masa di bangku simpanan Hartamas Rebel FC pada kempen SCL2017 lepas, pemain skuad Piala Belia PKNS FC ini sedang menabur khidmat bersama pasukan Protap FT dan Subang United selepas Hartamas Rebel dibubarkan.

9. Amirul Ashraff (PIB FC)

Posisi: Pemain no.10, Pemain tengah
Umur: 22

Aksi Amirul Ashraff (kiri) ketika menentang Shah Alam United FC. PIB FC menang 2-0 dalam perlawanan ini.

Amirul masih lagi bermain bersama PIB FC. Bagaimanapun aksi beliau tidak dapat disaksikan dalam kempen SCL2018 nanti kerana PIB tidak layak.

10. Gan Jay Han (Klang Southern FC)

Posisi: Bek kanan, Pemain tengah
Umur: 24

Aksi Gan Jay Han (kiri) ketika MOF FC bertemu Selangor FA dalam Piala FA Malaysia 2018.

Sejurus selepas kempen SCL2017 berakhir, Jay Han aktif menyertai sesi-sesi percubaan pasukan-pasukan Liga Premier dan Piala FAM dalam usahanya untuk mendapatkan kontrak. Usaha beliau berhasil apabila berjaya mendapat kontrak bermain bersama pasukan MOF FC dalam Piala FAM.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN