Pasukan Liga Malaysia agak jarang mengambil pemain import daripada negara yang mempunyai kedudukan ranking FIFA yang sangat rendah seperti Brunei. Namun, UiTM FC bukan salah satu daripada pasukan itu.
Penyerang skuad kebangsaan Brunei, Adi Said minggu lalu sah menyertai pasukan universiti tempatan tersebut bagi mengharungi Liga Premier musim 2019 sekaligus mencipta sejarah sebagai pemain pertama dari Brunei yang beraksi dalam Liga Malaysia.
Pemain yang berusia 29 tahun ini mempunyai 19 kaps dengan skuad kebangsaan Brunei dan telah menjaringkan 7 gol di peringkat antarabangsa. Beliau juga mempunyai pengalaman beraksi dalam Liga Singapura musim lalu dengan pasukan DPMM Brunei.
Bersama pasukan DPMM FC, beliau melalui musim yang cemerlang dalam saingan Liga Singapura 2018 apabila menjaringkan 11 gol sekaligus membantu kelab itu menduduki tempat ketiga dalam liga.
Beliau juga pernah membantu DPPM Brunei menjuarai Liga Singapura pada tahun 2015 dan Piala Liga Singapura pada tahun 2012 dan 2014. Malah, musim lepas beliau dipilih sebagai pemain terbaik bulanan liga tersebut.
Menurut sumber daripada Stadium Astro, kehadirannya di Malaysia bermula apabila beliau mendapat jemputan untuk sesi ujian bersama skuad kendalian Ismail Zakaria itu.
Adi bagaimanapun enggan melepaskan peluang itu untuk mengembangkan karier bola sepaknya dan ternyata tuah menyebelahinya apabila berjaya memikat barisan jurulatih UiTM FC sehingga terpilih menyertai pasukan itu.
Ia bermakna impiannya untuk beraksi di luar Brunei akhirnya tercapai dan berjanji akan memberikan yang terbaik dalam saingan Liga Malaysia.
“Saya memiliki sasaran untuk beraksi di luar negara dan bersama UiTM akan memberikan pengalaman baru buat saya dengan saingan bola sepak di Malaysia lebih baik,” katanya seperti dipetik dalam Stadium Astro.
Beliau juga berharap kehadirannya dalam Liga Malaysia dalam menarik lebih ramai lagi pemain dari negara kelahirannya beraksi di luar negara.
“Saya mahu bermain di Malaysia untuk membuka mata setiap pemain Brunei untuk mencuba meraih pengalaman beraksi di sini,” ujarnya.