Jika diberikan pilihan, siapakah pemain yang pembaca mahukan untuk bergandingan bersama Norshahrul Idlan Talaha di jentera serangan? Seperti yang kita tahu, pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe gemar meletakkan penyerang tunggal yang akan dibantu oleh penyerang ‘terapung’ di belakangnya.
Ini kerana, perbezaan ketara dalam perlawanan menentang Jordan tempohari adalah peranan di posisi tersebut yang tenggelam di babak pertama tetapi menyerlah di babak kedua – setelah Syafiq Ahmad masuk menggantikan Danial Amier Norhisham.
Syafiq Ahmad adalah salah seorang pemain yang boleh kita letakkan turut berada pada situasi yang sama dengan Hazwan Bakri ketika disenaraikan untuk skuad kebangsaan menjelang saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Mengapa? Syafiq Ahmad juga kurang mendapat penampilan pada musim ini bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) tetapi masih mendapat tempat di hati pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.
Syafiq Ahmad vs Hazwan Bakri
Namun, jika dibandingkan antara kedua-dua pemain ini, Syafiq Ahmad telah mendapat lebih sedikit peluang beraksi berbanding Hazwan Bakri dengan sembilan penampilan dalam kesebelasan utama berbanding satu penampilan oleh Hazwan Bakri.
Begitupun, kali terakhir Syafiq Ahmad tampil beraksi adalah pada perlawanan minggu ke-15 pada Mei lalu ketika JDT merekodkan kemenangan ke atas Kedah 2-0 di Larkin – masuk menggantikan pemain tengah, Leandro Velazquez di hujung perlawanan.
Dalam aksi menentang Jordan tempohari, Syafiq Ahmad menjadi tumpuan dengan aksi bertenaga dan keupayaannya untuk menghidupkan jentera serangan skuad kebangsaan di babak kedua biarpun akhirnya mereka tewas 0-1 kepada lawan.
Masuk menggantikan pemain muda, Danial Amier Norhisham ketika perlawanan berusia 45 minit, Syafiq Ahmad menunjukkan mengapa Tan Cheng Hoe masih kekal memilihnya hingga kini. Berbandingnya, Hazwan Bakri melepaskan satu peluang terbaik untuk meledak gol penyamaan di penghujung perlawanan.
Danial Amier gugup
Di babak pertama, kapten terkini skuad B-23 negara, Danial Amier Norhisham tampil untuk penampilan antarabangsannya yang pertama dan diletakkan sebagai pemain tengah menyerang di belakang penyerang utama, Norshahrul Idlan Talaha.
Namun, sepanjang babak pertama, kelompongan dilihat berlaku di posisinya apabila tiada langsung gerakkan mampu dicatur pemain FELDA United itu dan Malaysia bergelut untuk mengimbangi aksi.
Biarpun hanya satu gol dibolosi pada awal babak pertama, namun penguasaan penuh dimiliki oleh Jordan dengan hanya dua percubaan mampu dilepaskan Malaysia menerusi Safawi Rasid.
Ini telah memaksa Tan Cheng Hoe membuat perubahan drastik dengan memasukkan Syafiq Ahmad untuk menggantikan Danial Amier Norhisham yang jelas bergelut dan gugup untuk aksi pertamanya sebaik sahaja aksi babak kedua bermula.
Syafiq Ahmad bawa dimensi baru corak serangan
Sebaik sahaja dimasukkan dan babak kedua bermula, Harimau Malaya dilihat tampil lebih garang. Dua kali Syafiq Ahmad berjaya merampas bola di final third untuk membolehkan rakan-rakan mengasak ke kubu pertahanan Jordan malah beliau turut berjaya melakukan percubaan ke gawang menerusi tandukkan.
Posisi tersebut kembali hidup dan Norshahrul Idlan Talaha yang senyap sepanjang babak pertama kembali aktif dan berfungsi. Persefahaman dan tempo skuad negara kembali baik dan telah mengasak pasukan ke-99 dunia itu sepanjang hampir 45 minit.
Kemasukkan Hazwan Bakri di minit ke-60 untuk Norshahrul Idlan Talaha hampir membuahkan hasil, juga bermula dengan lorongan jauh yang kemas oleh Syafiq Ahmad yang menemui J. Partiban di sayap minit ke-65. Namun, peluang itu disia-siakan oleh penyerang berusia 28 tahun itu apabila dinafikan penjaga gol lawan.
Itulah satu gerakan terhampir untuk gol penyamaan bermula daripada berdekatan defensive third Malaysia, dibawa hingga di middle third oleh Syafiq Ahmad sebelum dilepaskan kepada J. Partiban yang berlari kencang melewati pertahanan lawan.
Selain itu, pemain kelahiran Pulau Pinang itu turut beberapa kali melakukan hantaran jauh yang baik untuk menjana serangan ke benteng akhir lawan. Berikut adalah serba sedikit statistik ringkas sumbangan Syafiq Ahmad dalam 45 minit di babak kedua:
- Percubaan ke gol: 2
- Hantaran akhir: 6
- Rampas bola untuk serangan: 4
Perubahan posisi umpama nyawa baharu
Keberkesanan Syafiq Ahmad beraksi di posisi tersebut pada malam itu dibantu dengan kekerapannya bermain untuk posisi tersebut bersama JDT selepas Tan Cheng Hoe membuat tindakan berani mengubah posisinya ketika saingan Piala AFF Suzuki 2018.
Bermula musim 2019, lima bulan kemudian, giliran JDT meletakkan penyerang muda ini di posisi tersebut membolehkannya semakin menyesuaikan diri dengan peranan barunya di dalam padang.
Pulang dari China sejurus perlawanan Liga Juara-Juara Asia, JDT terpaksa berdepan PJ City dengan beliau memulakan aksi di posisi barunya serta telah membuat gerakan mengasak ke kubu tuan rumah sebelum menjaringkan gol untuk menewaskan PJ City.
Dan sehingga kini, itulah posisinya di JDT, jika beliau diturunkan. Persaingan di jentera serangan memungkinnya untuk terus berada di bangku simpanan, tetapi perubahan posisi itu telah memberikan satu nyawa baru buat dirinya bersama JDT dan skuad negara.
Jadi, adakah Syafiq Ahmad akan memainkan peranan penting untuk Harimau Malaya di Gelora Bung Karno? Keselesaannya, keberkesanannya dan kesefahamannya bersama rakan-rakan sepasukan lain membantu menghidupkan jentera serangan dan mungkin beliaulah kunci penting untuk keputusan di Jakarta?
Kredit Featured Image: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)