Prestasi Marcus Rashford sejak beberapa perlawanan lalu membuktikan beliau ketika ini berada pada tahap terbaik untuk terus mejadi pemain penting dalam skuad Manchester United bagi memburu kejayaan dan piala pertama di bawah pengurus baharu, Erik ten Hag.
Walau bagaimanapun, ten Hag berharap agar pemain lincah ini untuk terus kekal fokus dan meningkatkan usaha jika ingin terus menjadi bintang yang selalu meledak jaringan.
Umum diketahui, musim lepas Rashford agak bergelut dengan prestasi beliau, namun musim ini pemain berusia 25 tahun ini seperti tersedar dari lamunan mimpi apabila sudah meledak hampir 15 jaringan.
Menurut ESPN, Rashford berada di landasan terbaik untuk memotong rekod peribadi pada musim 2019-20 dengan 22 gol dan ianya tampak tidak mustahil berdasarkan momentum semasa ditampilkan dirinya.
15th goal of the season for Marcus Rashford! 🔥🔴 https://t.co/RrjXPqTilc
— United Clip (@unitedclip) January 10, 2023
Lebih membanggakan, pemain ini semakin bijak dan lincah dalam mencipta gol dan telah merekodkan jaringan dalam enam perlawanan terturut-turut.
“Apabila beliau berhadapan situasi satu lawan satu di dalam kotak, dirinya tahu apa harus dilakukan dan dia melakukan dengan baik untuk mendapatkan jaringan,” ujar ten Hag.
Melihat prestasi terbaik Rashford, beliau sudah pasti menjadi pilihan utama United pada perlawanan sabtu ini, apabila mereka bakal bertemu Manchester City dan ia adalah perlawanan ‘Manchester derby’.
Pada sama sama, United dalam usaha untuk mendapatkan penyerang Besiktas iaitu Wout Weghorst, namun difahamkan kelab tersebut hanya akan melepaskan pemain ini jika mereka mendapat pemain yang sesuai bagi menggantikan posisi yang ditinggalkan.
Ketika ini, dalam saingan English Premier League (EPL), United berada di kedudukan keempat liga dan jika menang sabtu ini, skuad kendalian ten Hag akan semakin rapat dengan City dan hanya akan dipisahkan satu mata sahaja.