Musim ini menjadi sesuatu yang sangat mencabar buat Perak dalam saingan Liga Super 2023, setelah mereka tampil dengan lebih ramai bakat-bakat muda kurang ternama.
Berbanding pasukan lain yang mempunyai pemain senior lebih berpengalaman, Perak pula hadir dengan hanya beberapa pemain senior sahaja untuk memperkuatkan kelab.
Tamat Perlawanan Keputusan Masa Penuh
Perlawanan Liga Super PDRM FC VS Perak FC | Selasa, 28 Februari 2023
PDRM FC 0 – 0 PERAK FC
🤍💛🖤#PerakFC #ONEXOX #XOXMALAYSIA #RiseAsOne pic.twitter.com/cjG53lRh3O
— Perak Football Club (@perakfcofficial) February 28, 2023
Walaupun begitu, ianya merupakan sesuatu sangat menarik untuk diperkatakan kerana lebih ramai muka-muka baharu dapat diperkenalkan oleh Datuk Lim Teong Kim.
Selaku pengendali Perak, Lim mempunyai peranan sangat besar untuk membentuk pasukan tersebut supaya tampil lebih baik serta melahirkan lebih ramai bakat-bakat baharu untuk negara.
Salah satu pemain yang sangat mencuri perhatian sejak dua perlawanan Liga Super ini ialah pertahanan muda kental Perak iaitu Raja Imran Shah Bin Raja Amin.
Pemain yang berusia 25 tahun ini mempunyai banyak pengalaman bersama kelab-kelab lain sebelum itu dan tampil dengan menyerlah untuk melangkaui usianya.
Raja Imran yang beraksi di posisi pertahanan tengah dilihat sebagai aset terbaharu buat Lim untuk memperkukuhkan posisi tersebut menerusi kekuatan fizikal serta kepantasan dimiliki pemain tersebut.
Pada aksi pertama ketika menentang Kedah Darul Aman (Kedah), Raja Imran berjaya mempamerkan aksi individu yang sangat berkualiti untuk menutup segala ruang daripada membiarkan pemain lawan lolos.
Kecemerlangan itu diteruskan pada perlawanan kedua ketika menentang PDRM dengan kali ini, Raja Imran bersama rakan sepasukan tampil cemerlang untuk tidak membiarkan mereka dibolosi.
Sesuatu yang menarik untuk diperkatakan dalam kalangan penyokong Perak ketika ini mengenai prestasi Raja Imran yang mungkin dapat meredakan kembali rasa rindu mereka buat bekas pemain, Shahrul Saad.
Welcome to Perak FC, RAJA IMRAN SHAH
23 tahun | 184cm | Pertahanan pic.twitter.com/BEuxAOeJpm— PTY (@PerakTheYob) November 17, 2022
Seperti sedia maklum, Shahrul merupakan salah seorang pertahanan terbaik negara yang telah memulakan karier beliau sebelum itu bersama Perak.
Memulakan karier beliau bersama pasukan Piala Presiden Perak, Shahrul jelas mengembangkan potensi beliau dengan sangat baik selepas itu untuk menjadi salah seorang pertahanan berkualiti buat Malaysia.
Selepas kehilangan Shahrul yang menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT), mungkin ini satu anugerah sebenarnya buat Perak selepas Raja Imran menyertai mereka.
Walaupun masih banyak kelemahan perlu diperbaiki, untuk ketika ini kehadiran Raja Imran sangat penting dalam memperkukuhkan posisi pertahanan mereka menerusi aksinya yang berdisiplin.
Tampil dengan ketenangan di atas padang serta pakej fizikal yang tegap, maka tidak hairan jika Lim mampu membentuk beliau untuk menjadi pertahanan kental baharu buat negara.
Sehingga kini, dua perlawanan dilalui Perak menyaksikan Raja Imran menjadi pilihan utama Lim untuk diturunkan dalam senarai kesebelasan utama di posisi pertahanan tengah.
⚫🔴🟡
Raja Imran Shah#sarawakunitedfc #encangsampechampion pic.twitter.com/dqsrX9hfG7
— SARAWAK UNITED FC (@sufc_rasmi) July 13, 2022
Jika proses pembangunan ini berjalan lancar, maka mungkin musim hadapan menjadi detik terbaik buat Raja Imran untuk cuba mencabar posisi dalam senarai pemain Harimau Malaya.