Adakah JDT Terdesak Untuk Segera Terbangkan Falcao Sebagai ‘Box Office Signing’?

Ramadel Falcao JDT Rayo 2023

Adakah Johor Darul Ta’zim (JDT) terlalu terdesak untuk mendapatkan penyerang antarabangsa Colombia, Radamel Falcao untuk musim 2023?

Mereka sudah memiliki pemain berkaliber untuk mengisi posisi tersebut buat masa ini. Kelibat Bergson da Silva, Diogo Luis Santo, Fernando Forestieri selain Syafiq Ahmad sudah cukup untuk menggerunkan musuh.

Namun, sesuatu mungkin sedang dirancang oleh JDT bagi memantapkan pasukan menjelang kempen AFC Champions League (ACL) 2023/24.

Pastinya, kudrat penyerang bertaraf antarabangsa seperti Falcao mahu ditagih skuad Harimau Selatan bagi mencapai sasaran pemilik pasukan.

DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) telah menyatakan yang sasaran mereka dalam ACL musim ini mungkin mara sehingga ke pusingan suku akhir – jika ia mampu untuk direalisasikan.

Bagaimana Falcao dikaitkan dengan JDT

Malam tadi, penyerang yang pernah beraksi di Manchester United dan Chelsea itu mengucapkan selamat maju jaya JDT untuk Sumbangsih.

Hai kepada semua penyokong JDT. Saya Radamel Falcao. Saya ingin ucapkan selamat maju jaya untuk perlawanan Sumbangsih,” ungkapnya.

Secara dasarnya, ia seperti ucapan yang biasa-biasa sahaja daripadanya, namun ayat seterus daripadanya membuatkan kita terfikir sejenak.

Jumpa anda kemudian. Selamat maju jaya,” tambahnya dalam satu video yang dimuat naik oleh laman sosial Johor Southern Tigers, malam tadi.

Sebelum ini, ejennya, Morris Pagniello dilihat telah berkongsi sebuah foto bersama Falcao sambil melakukan tagging kepada akaun Instagram TMJ.

Hantaran itu menerima tanda suka daripada TMJ yang membangkitkan kembali spekulasi yang penyerang berusia 37 tahun itu bakal ke selatan.

TMJ dan Falcao pernah berkomunikasi sebelum ini iaitu sekitar Ogos 2021, tetapi kisah perpindahannya dinafikan oleh JDT selepas itu. Malah, kedua-dua individu itu dan ejennya, Morris pernah bertemu di Dubai pada Februari.

Jadi, berdasarkan situasi-situasi tersebut, Falcao sentiasa dikaitkan dengan juara Liga Super sembilan kali itu dan ia dilihat semakin jadi kenyataan.

Situasi Falcao di La Liga bersama Rayo Vallecano

Falcao merupakan penyerang buat kelab yang sedang menduduki tangga ke-6 La Liga, Rayo Vallecano. Namun, bukan sebagai penyerang utama.

Di Rayo, Falcao dianggap penyerang ketiga selepas Sergio Camello dan Raul de Tomas. Dan, pengaruhnya juga sudah semakin menghakis di sana.

Malah, menurut laporan sebuah media digital, @UnionRayo, Falcao sedang mencari peluang untuk meninggalkan pasukan sekitar Januari lalu.

Menuju penghujung musim, beliau hanya merekodkan 578 minit permainan dalam 20 penampilannya – sesuatu yang mungkin terlalu sedikit buatnya, Faktor usia juga mungkin menjadi sebab beliau perlahan-lahan disisihkan.

Situasi terkini semakin menekan apabila beliau hanya tampil beraksi dalam dua daripada tiga aksi terakhir, malah hanya diturunkan untuk bermain dua minit terakhir ketika mereka melayan kunjugan Sevilla, baru-baru ini.

Dengan kontrak yang hanya berbaki empat bulan, beliau sudah boleh mula memikirkan langkah yang seterusnya, jika tidak lagi terikat dengan Rayo.

Rayo juga tiada masalah kehilangannya secara percuma di penghujung kontraknya kerana beliau tiba ke Los Franjirrojos pun secara percuma.

Jendela pendaftaran pemain ditutup, jadi bagaimana?

Jendela pendaftaran pemain Liga Malaysia secara rasminya telah ditutup, malam tadi. Jadi, kita tidak akan melihat kelibat penyerang veteran ini dalam masa terdekat – jika benar JDT adalah destinasi beliau seterusnya.

Skuad Harimau Selatan juga tidak terlalu terdesak untuk mendaftarkan seorang penyerang baharu – jika hanya untuk pertandingan domestik.

Ini kerana, mereka sudah pun memiliki barisan penyerang yang mampu menggegarkan Liga Super waima masih belum membawa masuknya.

ACL hanya akan bermula pada September, jadi mereka masih ada masa untuk menerbangkan penyerang tersebut selepas kontraknya berakhir.

Jadi, TMJ dan JDT pastinya akan terus memantau rapat perkembangan pemain itu dan dengan hubungan antara ejen, pemain dan TMJ dilihat sangat baik, tidak mustahil Falcao akan menyarung jersi mereka nanti.

Hanya masa yang akan menentukan segalanya!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN