‘Ada Peluang Kedua Buat Liridon Tak?’ – Ini Ramalan XI Harimau Malaya Di Derbi Seberang Tambak

Kim Pan-gon Malaysia Harimau Malaya Tri-Nation Series 2022 Singapura Derbi Seberang Tambak

Selepas aksi pertama yang mengujakan berdepan Filipina yang berakhir dengan kemenangan 2-0 pada Rabu, Harimau Malaya akan berdepan Singapura dalam Derbi Seberang Tambak untuk aksi kedua, malam ini.

Singapura adalah semifinalis Piala AFF Suzuki 2020 yang dilangsungkan pada penghujung tahun lalu. Mereka ditunjuk jalan keluar oleh skuad muda Indonesia apabila tewas 5-3 secara agregat, selepas tambahan masa.

Singapura adalah skuad yang ampuh dan mereka juga memiliki gaya permainan yang baik. Berbezanya kali ini, mereka bakal dikendalikan pengendali sementara, Nazri Nasir selepas Tatsuma Yoshida meletak jawatan.

Namun, Malaysia harus berhati-hati kerana Nazri Nasir lah yang tumbangkan Malaysia di Airmarine Cup 2019.

Jadi, apa perancangan Kim Pan-gon berdepan Singapura pada malam ini? Ada perubahan besar? Jika melihat aksi pertama, dijangkakan tiada perubahan besar dalam kesebelasan utama kerana momentum babak pertama tempohari pasti mahu diteruskannya. Formasinya akan kekal 4-3-3 dengan adakalanya tampak seperti 3-4-3.

Penjaga gol: Farizal Marlias

Masih layak diberikan tugasan di gawang atas prestasinya. Selepas beraksi 90 minit tempohari, mungkin kita akan melihat perubahan penjaga gol di babak kedua sama ada Khairulazhan Khalid atau Kalamullah Al-Hafiz.

Bek tengah: Shahrul Saad – Khuzaimi Piee

Ramai yang masih membicarakan gandingan baharu di benteng skuad negara ini. Khuzaimi Piee adalah tarikan terbaharu yang dibawa Kim Pan-gon dan majoriti terkejut dengan kestabilan yang dibawa pemain itu di benteng Harimau Malaya. Perlu diubah? Rasanya ini gandingan yang akan terus dicuba oleh pengendali tersebut.

Bek sayap: Dion Cools – Corbin Ong

Gandingan wingback paling menarik di mana Filipina bergelut untuk membendung mereka. Di luar telahan kami, jurulatih kelahiran Korea Selatan itu terus meletakkan Dion Cools dalam skuad utama walaupun tak sampai sehari mengenali pemain itu di padang latihan. Jelas, kualiti Dion Cools berada di tahap yang jauh berbeda.

Defensive midfielder: Syamer Kutty Abba

Satu lagi posisi yang dirasakan akan dikekalkan sekurang-kurangnya untuk babak pertama. Ketika Nor Azam Azih masuk pada minit ke-71, beliau bertukar peranan dengan Syamer Kutty tetapi itu bukan posisi terbaiknya.

Ikuti penjelasan Semuanya BOLA tentang peranannya sebagai ‘half-back’ dalam artikel analisis ringkas ini.

Analisis Peranan ‘Half-Back’ Syamer Kutty Abba, Tonggak Tak Didendang Ketika Tundukkan Filipina

Pemain tengah: Safiq Rahim – Azam Azih

Dalam aksi berdepan Filipina, R. Kogileswaran dilihat mengalami sedikit kecederaan dan mungkin Kim Pan-gon akan merombak sedikit posisi ini. Liridon Krasniqi tampak gagal sesuaikan diri dalam perlawanan tempohari menjadikan Azam Azih mungkin akan membentuk gandingan bersama all-rounder midfielder, Safiq Rahim.

Penyerang: Arif Aiman – Syafiq Aiman – Akhyar Rashid

Kombinasi serangan yang bakal dipertaruhkan sekali lagi untuk mengucar-kacirkan bentang The Lions. Mungkin ini wajah baharu jentera serangan Harimau Malaya yang bakal jadi taruhan terbaik Kim Pan-gon selepas ini. Kelicikan Arif Aiman dan kesefahaman ketiga-tiganya menjadikan mereka pilihan terbaik pada ketika ini.

Begitupun, ia dijangka akan berubah selepas babak pertama. Pemain seperti Khair Jones, Zhafri Yahya, Safawi Rasid, Luqman Hakim dan yang lain mungkin bakal menjadi pilihan untuk terus dicubanya dalam aksi ini.

Adakah Liridon Krasniqi akan diberikan lagi peluang untuk sekurang-kurangnya bermain di babak kedua?

Derbi Seberang Tambak ini tidak harus dipandang sebagai aksi biasa kerana ada dendam perlu dilunaskan.

Untuk membuat perubahan besar dalam aksi persahabatan rasmi mungkin tidak akan berlaku. Eksperimen sebenar adalah ketika berdepan kelab Singapore Premier League (SPL), Albirex Niigata pada 28 Mac nanti.

Leave a Reply