Apabila penyerang Lyon, Ada Hegerberg mengakhiri kempen musim lalu dengan kejuaraan ketiga UEFA Champions League (UCL Wanita), beliau pantas menulis di media sosial twitter miliknya.
“Hey @Cristiano, bolehkah anda menjaringkan lebih banyak gol esok?” Gol ketiga untuk Lyon dalam kemenangan 4-1 ke atas Wolfsburg di perlawanan akhir bermakna Hegerberg menyamai rekod jaringan Cristiano Ronaldo di eropah sepanjang musim 2017/18.
Got a record now. Sweet, sweet 15. Couldn’t do it without my teammates. Hey @Cristiano can you score one more tomorrow? ? #TeamOL #UWCL #RMALIV #ChallengeAccepted @ol @teamavsports pic.twitter.com/dmDKnC53Hm
— Ada S Hegerberg (@AdaStolsmo) May 25, 2018
Ini adalah kisah Ada Hegerberg, salah seorang calon The Best FIFA Football Awards 2018.
Ada Martine Stolsmo Hegerberg
Nama ‘Ada’ itu sendiri mempunyai makna signifikan kepada peradaban dunia pada hari ini.
Di dunia perkomputeran, Ada Lovelace dianggap sebagai pengaturcara (programmer) wanita pertama di dunia.
Namun bagi Hegerberg, beliau mempunyai cara tersendiri untuk mencipta nama dan mengangkat nama ‘Ada’ ke persada dunia. Dan beliau memilih bidang bola sepak.
Ada Hegerberg dilahirkan pada 10 Julai 1995 di Molde, Norway. Walaupun berhadapan dengan masa depan yang tidak ketentuan di dalam bola sepak profesional wanita, Hegerberg memilih bola sepak sebagai karier seawal usia 10 tahun.
Karier awal
Walaupun bola sepak berkembang pesat di Eropah berbanding dengan mana-mana bahagian di dunia, pembangunan bola sepak wanita di Norway tidak mempunyai struktur khusus untuk bergelar pemain profesional.
“Saya membesar dengan bermain bola sepak dengan kanak-kanak lelaki. Ia adalah perkara biasa buat saya dan kakak saya, Adrine Hegerberg (kini beraksi bersama pasukan wanita Paris Saint-Germain). Kami bermain bola sepak dengan kanak-kanak lelaki sehingga berusia 14 tahun,” ujar Ada.
Adik beradik Hegerberg itu kemudiannya menyertai pasukan Toppserien (liga bola sepak wanita di Norway), Kolbotn pada Ogos 2011. Ada tampil sebagai penjaring hatrik termuda di dalam sejarah Toppserien pada usia 16 tahun dan mengakhiri musim sebagai penjaring terbanyak liga.
Pasangan adik beradik itu kemudian berhijrah menyertai Stabaek, dan sekali lagi Ada dinobatkan sebagai penjaring terbanyak dengan 25 gol dari 18 penampilan.
Dianggap sebagai antara prospek muda bola sepak wanita di Norway, pasangan adik beradik Hegerberg kemudiannya berhijrah ke Jerman untuk bersama Turbine Postdam demi untuk terus mengembangkan karier mereka secara lebih serius.
Dari Jerman ke Perancis
Jika di dunia bola sepak lelaki, Real Madrid dianggap sebagai jaguh dengan dominasi di peringkat domestik dan eropah. Manakala La Liga dianggap sebagai salah sebuah liga bola sepak terbaik di dunia.
Di dunia bola sepak wanita, ianya adalah Olympique Lyon dan The Championnat de France de Football Féminin atau lebih dikenali sebagai Division 1 Féminine (D1F) dianggap sebagai liga elit bola sepak wanita.
Pada musim panas 2014, Lyon tidak teragak-agak untuk menebus kontrak Ada untuk membawa beliau ke Perancis, dan ia adalah permulaan kepada lebih banyak kejayaan buat gadis muda ini.
Tajam di bahagian serangan, Ada terus membuktikan kemampuan yang dimiliki beliau dengan menjaringkan 6 gol dari 4 penampilan pertama bersama Lyon di D1F.
Pada usia 19 tahun, Ada memperolehi tajaan pertama sebagai pemain profesional dari syarikat peralatan sukan Puma, dan sudah pasti ia adalah imbuhan yang tidak boleh ditolak oleh beliau.
Musim pertama di Perancis, gadis muda ini sudah berjaya membanu pasukannya muncul juara liga, menjaringkan 34 gol dari 32 penampilan keseluruhan.
Musim kedua di D1F, Ada tidak memandang ke belakang lagi. 54 gol dari 34 penampilan untuk Lyon, Ada turut membantu Lyon menjuarai gelaran ‘treble’ apabila turut membolot kejuaraan Champions League dan Coupe de France pada musim 2015/16.
The moment three-time #UWCLfinal winner Ada Hegerberg scored her record-breaking 15th goal this season ⚽?
? https://t.co/WqwZTrGpjH @OL @AdaStolsmo pic.twitter.com/FNJQ34bAZy
— #UWCL (@UWCL) May 24, 2018
Hanya dua musim bersama Lyon, Ada Hegerberg sudah menobatkan dirinya sebagai penyerang berusia 21 tahun paling prolifik di dalam sejarah bola sepak Perancis.
Pada 2016, Ada Hegerberg dinobatkan sebagai Pemain Wanita Terbaik UEFA dan turut disenaraikan di dalam FIFPro World XI. Tahun lalu, Ada menerima Anugerah Tahunan Pemain Bola Sepak BBC, sambil membantu Lyon meraih gelaran treble buat musim ketiga berturut-turut.
Kecewa
Kerana keanggunan dan kejelitaan yang dimilikinya, maka tidak hairanlah Ada Hegerberg menjadi ‘poster girl’ di negaranya.
Namun Norway bakal kehilangan khidmat salah seorang pemain terbaik dunia di dalam bola sepak wanita di Piala Dunia Wanita yang akan diadakan di Perancis pada musim panas 2019.
Kecewa dengan perkembangan bola sepak untuk wanita di peringkat domestik dan negara, Ada pernah menyatakan niat untuk berundur dari skuad kebangsaan Norway selepas negaranya tersingkir dari Euro 2017 yang lalu.
“Bola sepak adalah sukan utama buat wanita di Norway, dan ianya dianggap sedemikian sejak beberapa tahun yang lalu. Namun begitu golongan wanita tidak mempunyai peluang yang sama di dalam bidang ini seperi apa yang dilalui oleh pemain bola sepak lelaki.”
“Norway memiliki sejarah hebat di dalam bola sepak wanita, tetapi ia semakin sukar pada hari ini. Kita tidak pernah berbicara mengenai prihal pembangunan, dan negara-negara lain semakin berkemampuan dari kita,” jelas Ada dengan kecewa.
Sehingga kini, belum ada lagi tanda Ada akan mengubah keputusan untuk kembali menyarung jersi Norway. Namun demikian, prestasi Ada semakin menjadi-jadi sejak memberikan fokus hanya kepada Lyon.
Rumusan
Sukar untuk membayangkan bagaimana pemain yang telah mencapai segala kejayaan terus memberi fokus tanpa bosan untuk terus menggapai kejayaan demi kejayaan.
“Saya sentiasa dahagakan penambahbaikan. Setiap hujung musim, saya akan duduk untuk menganalisis apa yang berlaku di musim sebelumnya dan berlatih untuk memperbaikinya.”
“Inilah cara saya berfikir. Saya mengambil berat mengenai keputusan untuk memastikan keyakinan diri berada di tahap terbaik untuk beraksi,” jelas Ada.
Lebih dari 250 gol telah dijaringkan oleh Ada Hegerberg, tiga kejuaraan Champions League, D1F dan Coupe De France, ia amat mudah untuk lupa gadis ini hanya berusia 22 tahun.
Ada Hegerberg hidup dengan merealisasikan impiannya. Tidak ada siapa yang memiliki ratio jaringan seperti Ada pada usia 22 tahun. Walaupun Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi bergabung sekali pun.