Ada Apa Dengan FIFA19 Demo?

Saya masih lagi mengingati pengalaman saya bermain FIFA 2004 menggunakan CD cetak rompak yang saya beli bersama abang saya di pekan kecil Rantau Panjang sewaktu saya masih di bangku sekolah.

Sebab saya membelinya cukup mudah- ia memaparkan gambar Thierry Henry sambil diapit oleh Ronaldinho dan Del Piero di kiri dan kanannya; figura-figura bola sepak yang sangat terkenal.

Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, saya tidak pernah membeli CD game yang memerlukan penggunaan processor dan grafik yang tinggi kerana komputer yang kami miliki di rumah adalah komputer usang yang hanya mampu memainkan game-game yang lebih lama seperti Red Alert 2 dan Star Craft.

Latar belakang kami pula adalah dari keluarga yang sederhana dan tidak mampu memiliki konsol permainan terkini seperti Playstation 2 yang dimiliki oleh kawan-kawan kami yang dari keluarga yang lebih berada.

Namun tahun itu sedikit istimewa kerana saya mula mengikuti perkembangan Liga Perdana Inggeris dan tahun itu merupakan tahun kejohanan Euro sedang berlangsung di Portugal yang dikejutkan dengan Greece sebagai juara- membuatkan saya tergerak untuk membeli CD game bola sepak buat kali pertama dan terus jatuh cinta kepada genre itu sehingga hari ini.

Sehinggalah saya bekerja sendiri dan mampu menyara diri sendiri, saya berjaya mengumpul duit untuk membeli sendiri sebuah PlayStation 3 dan kini PlayStation 4 -siri permainan yang saya tidak pernah ketinggalan untuk dapatkan setiap tahun adalah siri FIFA.

Menjadi kelaziman hampir setiap peminat bola sepak hari ini, bermain permainan video FIFA adalah salah satu trait yang wajib dimiliki. Ia adalah satu dari ‘tool’ yang boleh digunakan untuk bergaul dan menjadi modal bercakap di kedai mamak sewaktu keluar bersosial dengan kaki bola yang lain.

Malah, jika ada kawan-kawan datang melepak di rumah pun, permainan yang bakal dimainkan bersama adalah FIFA, biarpun ada banyak lagi siri permainan video lain yang tersedia di rak.

Mahu atau tidak siri permainan FIFA seakan-akan sudah sebati dalam masyarakat bola sepak dunia, seakan-akan jika FIFA tidak pernah diterbitkan, kegilaan kita kepada bola sepak itu dirasakan tidak lengkap.

Kemunculan FIFA19

Baru-baru ini, EA Sport telah memberikan peluang untuk peminat bola sepak seluruh dunia untuk memainkan demo FIFA 19 di kesemua platform dan konsol termasuklah Steam, Play Station Store dan Xbox.

Ia boleh dimuat turun secara percuma dan memberikan peluang untuk peminat siri itu merasai sendiri FIFA19 yang dikatakan siri FIFA terbaik yang pernah EA Sports hasilkan.

Harus diingat bahawa FIFA19 Demo ini adalah produk percubaan dan bukan produk yang sudah siap sepenuhnya dan kualiti end product mungkin akan berbeza sedikir dari siri demo yang telah disajikan kepada kita.

Apa Yang Ada Dalam Siri Demo FIFA19?

Secara ringkasnya, terdapat beberapa perkara baru yang ditambahkan ke dalam siri FIFA19.

Antara perkara yang paling mencuri perhatian saya adalah terdapatnya mod Champions League yang biasanya tersedia secara ekslusif kepada siri permainan PES.

Malahan, siri demo FIFA19 ini juga hanya mengehadkan pemain untuk bermain perlawnan kumpulan Champions League untuk tempoh 4 minit serta memberikan 10 pasukan untuk dipilih; termasuklah Manchester United, Manchester City, Spurs, Paris Saint Germain, AS Roma, Real Madrid, Atletico Madrid, Juventus, Broussia Dortmund dan Bayern Munich.

Untuk perlawanan biasa untuk siri demo ini, anda hanya dibenarkan untuk memilih hanya dua stadium sahaja; sama ada Santiago de Bernabeu (Real Madrid) atau Wanda Metropolitano (Atletico Madrid).

Selain UCL, FIFA 19 juga menyediakan sedikit demo mod The Journey yang memaparkan kisah dari FIFA18, perihal Alex Hunter sebagai pemain yang baru sahaja berpindah ke Real Madrid.

Lebih menarik, FIFA 19 juga dirasakan lebih segar kerana semua ulasan telah ditukarkan kepada dua pengulas baru; Darek Rae dan bekas pemain Arsenal, Lee Dixon – menggantikan Martin Tyler dan Alan Smith yang sudah penat kita dengar suara mereka sejak FIFA 12 (kalau FIFA 2004 dulu, John Motson dan Ally McCoist).

Gameplay

Dari segi kawalan butang, ia masih sama dengan siri FIFA 18 (saya menggunakan kawalan alternate) tetapi perubahan pertama yang saya perhatikan adalah d-pad  tidak lagi berfungsi sebagai aturan mentality pasukan (aturan all out attack atau park the bus), tetapi diubah menjadi aturan untuk level trainer bagi permainan solo.

Aspek yang terbaru yang diserap oleh FIFA 19 tahun ini pula lebih menitik beratkan keupayaan fizikal pemain – sama ada anda mahu gunakan fizikaliti yang dimiliki oleh Romelu Lukaku atau kepantasan yang dimiliki Kylian Mbappe untuk mengucar kacirkan pertahanan lawan.

Saya tidak melepaskan peluang untuk menggunakan pasukan Juventus kerana mahu merasai sendiri kehebatan pasukan tersebut yang baru sahaja merekrut salah seorang pemain terbaik dalam siri FIFA 19, Cristiano Ronaldo -dan Juventus memang power dalam FIFA tahun ni!

Precision Shooting – Suka atau Benci

Salah satu perkara yang ketara mengenai FIFA19 ini adalah mengenai timing kita menekan butang untuk melakukan rembatan yang dikenali sebagai precision shooting – di mana pemain boleh melakukan tap susulan kepada rembatan yang hendak dilakukan.

Ia agak sukar pada mulanya, tetapi tap kedua yang perlu anda lakukan adalah selepas pemain melakukan sentuhan pada bola – first tap untuk kekuatan, second tap adalah untuk ketepatan. Terlebih awal atau terlalu lambat, rembatan anda akan menjadi sangat lemah.

Jangan risau mengenai hal ini. Jika anda biasa menggunakan butang shoot seperti mana dalam FIFA18, anda masih menggunakan teknik single tap yang sama- cuma double tap (precision shooting) ini adalah lebih seronok dan gol yang dihasilkan adalah lebih menarik.

Animasi untuk keraian gol juga ditambah seperti jeritan SIIII Cristiano Ronaldo yang jelas kedengaran, Dybla Mask dan tarian cacing kepanasan yang membuatkan kita lebih teruja. Malahan animasi penonton juga ditambah seperti penyokong yang membawa banner wajah Cristiano.

Kesimpulan

FIFA19 yang bakal dilancarkan pada 28 Septembar ini akan menjadi salah satu siri terbaik yang pernah EA Sports hasilkan- ia mengekalkan keseronokan dan kualiti FIFA18 serta menambahkan beberapa features menarik lain seperti , FIFA Ultimate Team yang serba baharu, mod UEFA Champions League dan siri terakhir kepada perjalanan karier cerita Alex Hunter.

Kelancaran hantaran dan keseronokan melakukan finishing-finishing cantik– ditambahkan dengan beberapa mod permainan lain yang diwar-warkan membuatkan FIFA19 adalah permainan yang mesti anda miliki pada hujung bulan ini.

Dengan pelesenan penuh semua liga utama dunia serta lesen kejohanan UCL, FIFA19 adalah permainan bola sepak yang terbaik dan paling lengkap yang pernah EA Sports hasilkan.

Cara Download

Anda mungkin tertanya-tanya cara untuk dapatkan demo FIFA19 ini. Ia tidaklah semudah cara untuk mendapatkan demo FIFA18 kerana PlayStation Store telah mengetatkan syarat muat turun dengan tidak meletakkan demo permainan ini terus melalui konsol.

Jadi apa yang perlu anda lakukan adalah dengan login terus ke akaun PlayStation Store anda melalui apps ataupun PC dan search FIFA19 demo dan klik button purchase (ia percuma).

Selepas itu, anda mesti sambungkan PlayStation anda ke internet dan akses terus ke Library dan pilih tab “My Purchased Game”.

Setelah itu, cari title “FIFA 19 Demo” dan klik download. Tunggu sehingga ia habis di muat turun dan ia sedia untuk dimainkan!

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN