Saingan AFC Champions League (ACL) kembali bersambung untuk aksi terakhir peringkat Kumpulan I dengan membabitkan pertemuan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang BG Pathum di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), malam ini.
Kedua kumpulan ini sudah pun tersingkir sebenarnya untuk melayakkan diri ke peringkat 16 terakhir dengan JDT di tangga ketiga menerusi tujuh mata diraih mereka selepas mengharungi lima perlawanan.
BG Pathum pula kekal di dasar kumpulan selepas pasukan tersebut konsisten meraih lima kekalahan berturut-turut serta menampilkan aksi tidak menyakinkan.
Untuk JDT, pasukan ini tidak dapat mengulangi kejayaan mereka pada musim lalu yang melepasi peringkat 16 terbaik, tetapi mereka berpeluang untuk menamatkan cabaran saingan itu dengan kemenangan bergaya intuk mengatasi BG Pathum.
Rekod pertemuan kedua pasukan tersebut musim ini menyaksikan ia berpihak kepada JDT selepas BG Pathum tewas di laman sendiiri menerusi keputusan 2-4.
Antara paling menonjol pada perlawanan tersebut pastinya terarah kepada bintang muda JDT, Arif Aiman yang dijangka akan mengulangi prestasi terbaiknya pada malam ini.
Pada perlawanan lalu bertemu BG Pathum, Arif telah pun menghasilkan dua jaringan bersama prestasi yang cukup menyerlah untuk mengatasi pertahanan lawan.
Tampil di kesebelasan utama pada aksi tersebut, kelicikan Arif jelas memainkan peranan cukup penting selain beliau turut berjaya mencipta kombinasi permainan pantas bersama rakan sepasukan lain.
Kualiti dimiliki Arif pada musim ini jelas sangat meningkat daripada segi aspek fizikal, kepantasan, kawalan bola, serta penyudah lebih klinikal di hadapan gawang gol.
Momentum semasa pemain tersebut juga berada dalam keadaan terbaik kini, apabila beliau berjaya membantu JDT beberapa hari lalu untuk menjulang kejuaraan Piala Malaysia 2023.
Jika dilihat pada prestasi semasa, jelas Arif sekali lagi bakal diletakkan dalam kesebelasan utama JDT oleh Esteban Solari untuk mengkucar kacirkan pertahanan pasukan pelawat.
Gandingan Arif bersama Fernando Forestieri, Heberty Fernandes, serta Bergson da Silva pastinya sangat ditagih malam ini untuk sekurangnya memberi keceriaan terakhir buat para penyokong Harimau Selatan di pentas Asia.
Semoga JDT memperoleh kemenangan malam ini sekali gus, terus melonjakkan nama baik bola sepak Malaysia di pentas antarabangsa menerusi reputasi dimiliki mereka.