Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) masih belum mengemukakan rayuan bagi membolehkan Pahang beraksi di pusingan kedua kelayakan Liga Juara Juara (ACL) tahun depan.
Menurut Hamidin, mereka masih menantikan surat rayuan daripada PBNP supaya jawatankuasa Rayuan FAM boleh bersidang untuk mengkaji semula hukuman penggantungan 2 tahun yang dikenakan ke atas persatuan terbabit.
“Saya difahamkan setakat ini, Pahang belum lagi menghantar surat rayuan jadi kita tunggulah. Saya tidak pasti kerana mungkin mereka tidak mahu merayu tetapi eloklah jika Pahang dapat mengemukakan rayuan.
“Bila rayuan dikemukakan, barulah perkara itu akan dibawa ke Jawatankuasa Rayuan dan mereka akan bersidang sebelum menentukan keputusannya nanti,” katanya kepada Berita Harian.
Mengulas mengenai peluang Pahang untuk ‘diberi keampunan’, Hamidin bagaimanapun menjelaskan beliau tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara terbabit.
“Saya bukan Pengerusi Jawatankuasa Rayuan. Pengerusinya adalah Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff dan jawatankuasa itu adalah satu badan bebas jadi saya tidak boleh menjawab mengenainya,” kata Hamidin.
Baru-baru ini, bekas Presiden FAM, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim meminta FAM kaji semula hukuman penggantungan Pahang melalui kenyataan dalam laman facebook rasmi JOHOR Southern Tigers.
“Lazimnya dengan kejayaan tersebut (Juara Piala FA), pasukan Pahang layak untuk mewakili negara dalam peringkat Asia iaitu Pusingan Kelayakan Liga Juara-Juara AFC (ACL) pada tahun hadapan.”
“Oleh itu demi semangat kesukanan, saya berharap kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengkaji semula hukuman yang telah dikenakan terhadap pasukan Pahang sebelum ini,” katanya.
Skuad Tok Gajah yang muncul juara Piala FA musim ini selepas menewaskan Selangor, 2-0 digantung oleh FAM kerana enggan mewakili negara ke saingan Piala AFC musim ini.
Bagaimanapun, mereka masih dibenarkan untuk mengemukakan rayuan namun jika mereka mengemukakan rayuan tetatpi rayuan mereka ditolak, slot terbabit akan diisi oleh naib juara Liga Super.