Abu Bakar Fadzim: Stadium Majlis Perbandaran Manjung Cetus Aura Positif Buat PKNP FC

Manjung

Ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim menyifatkan Stadium Majlis Perbandaran Manjung yang menjadi gelanggang rasmi pasukan berjaya mencetuskan aura baharu lebih positif kepada barisan pemain apabila menerima sokongan padu daripada penyokong sendiri musim ini.

Jelasnya, PKNP makin diterima komuniti di daerah Manjung apabila beraksi di stadium itu selain kapasiti di sana yang cukup sesuai untuk dijadikan gelanggang tuan rumah menjadikan barisan pemain lebih dekat dengan penyokong.

Jika dilihat musim lalu ketika Stadium Batu Kawan menjadi laman rasmi mereka, penyokong agak sukar untuk hadir menyaksikan perlawanan ekoran lokasi yang agak jauh tidak kira ketika prestasi pasukan sedang meningkat atau sebaliknya.

“Kami satu pasukan memang dapat rasakan suasana yang cukup lain apabila beraksi di stadium sendiri (Stadium Majlis Perbandaran Manjung) jika dibandingkan di Stadium Batu Kawan kerana penyokong juga tiada masalah untuk selalu turun padang menyokong kami.

“Musim lepas, ketika kami layak ke separuh akhir Piala FA pun, tidak ramai yang datang ke stadium. Tetapi tahun ini berbeza kerana walaupun kami agak perlahan di awal musim, peningkatan kehadiran penyokong tu memang ada dan cukup memuaskan”, katanya.

Ketika ini, kehadiran penonton dianggarkan meningkat daripada 500 sehingga ke tiga ribu orang yang menyaksikan perlawanan apatah lagi kini prestasi mereka kian konsisten dengan lima kemenangan berturut-turut termasuklah dua aksi dalam Shopee Piala FA sebelum ini.

Meskipun tewas 1-2 kepada Selangor Sabtu lalu dalam saingan Liga Super, Abu Bakar mahu barisan pemain ambil iktibar daripada perlawanan itu untuk mereka kembali raih prestasi seimbang.

Secara keseluruhannya, dia dapat melihat pasukan PKNP musim ini semakin digeruni oleh pasukan lawan dalam saingan Liga Super dan paling utama, pemain perlu memastikan fokus utama untuk kekal dalam liga musim depan jadi kenyataan.

“Sebelum ini saya sudah jangkakan pasukan PKNP akan berjaya melahirkan pemain-pemain berkualiti dan ia terbukti dengan bakat Shahrel Fikri Md Fauzi yang kini bersama Perak.

“Saya mahu PKNP akan terus menjadi batu loncatan kepada pemain lain juga untuk mengembangkan karier mereka di peringkat lebih tinggi pada masa akan datang.

“Namun, mereka perlu bantu pasukan terlebih dahulu untuk memastikan kita tetap kekal dalam Liga Super musim ini dan terus bangkit perbaiki kelemahan dalam aksi akan datang”, katanya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN