Pemain muda kelahiran Belanda, Frenkie De Jong mendedahkan bahawa sahabat baiknya, Abdelhak Nouri merupakan inspirasi buat beliau untuk memilih Barcelona sebagai destinasi bagi mengembangkan lagi karier ke tahap lebih tinggi.
Persahabatan De Jong dan Nouri mula menjadi rapat selepas pemain tengah itu menyertai Ajax daripada Willem II pada 22 Ogos 2015. Langkah awal De Jong ke Ajax juga adalah atas susulan daripada pujukan Nouri yang merupakan produk akademi kelab juara Liga Eredivisie 2018/19 itu.
Seperti diketahui umum, karier salah seorang daripada mereka berubah dengan sekelip mata setelah Abdelhak Nouri rebah berikutan serangan aritmia jantung pada aksi persabahatan menentang Werder Bremen pada tahun 2017.
Keadaan yang mengejutkan dunia bola sepak itu menyebabkan Nouri koma lebih setahun dan mengalami kerosakan otak kekal. Sementara itu, Frenkie De Jong pula terus mencipta nama sehingga kelibatnya mencuri pasukan-pasukan ternama di Eropah.
.@jupilerleague Player of the Season ? Abdelhak Nouri! ?
Talent of the Season ? Frenkie de Jong! ?
Proud of you lads! ????? #AjaxReserves pic.twitter.com/JqCcQ3ZkNe
— AFC Ajax (English) (@AFCAjax_EN) May 16, 2017
”Pada tahun 2019, saya mula ragu-ragu [pasukan mana yang menjadi pilihan untuk berhijrah],” ujar Frenkie De Jong bercakap dalam satu rancangan di Dutch TV, De Wereld Draait Door.
”Kemudian ibu Appie [nama panggilan Abdelhak Nouri] masuk ke dalam bilik dan bertanya: ‘Kemana Frenkie harus pergi?’
”Ibunya menamakan kelab tersebut dan berkata, ‘adakah dia perlu pergi ke Barcelona? Kemudiannya Appie memberikan isyarat menggunakan isyarat matanya sebagai tanda setuju.”
”Itu adalah detik yang sangat baik buat diri saya dan juga keluarga.”
De Jong akhirnya menyatakan persetujuan untuk menyertai Barcelona pada penghujung Januari 2019 dan secara rasminya bergelar pemain The Blaugrana ketika jendela perpindahan musim panas (Julai) dibuka.
Dalam pada itu, De Jong turut berkongsikan kenangan bagaimana Nouri memujuknya supaya menyertai Ajax walaupun musuh ketat, PSV Eindhoven turut menunjukkan minat mendalam untuk mendapatkan khidmat beliau.
”Saya telah memutuskan bahawa saya akan meninggalkan Willem II. Ia [perpindahan] berlaku ketika satu pertandingan bawah 19 tahun (B-19) yang diadakan di Greece.”
”Appie berkata kepada saya: ‘Tidak, awak perlu datang ke Ajax. Kemudian kita akan dapat bermain bersama. Apa yang awak ingin lakukan di PSV? Hanya datang ke Ajax. Dia banyak bercakap dengan saya.”
Kredit foto: VI Images via Getty Images