Ketua jurulatih pasukan Piala Emas Raja-Raja (PERR) Pulau Pinang, Abd Rahim Hassan menzahirkan rasa kesyukuran atas kejayaan pasukannya merangkul kejuaraan PERR untuk edisi 2017, baru-baru ini.
Ia sekaligus menamatkan penantian 15 tahun pasukan Pulau Pinang untuk meraih semula kejuaraan kejohanan PERR. Ini juga merupakan kejuaraan ke-9 buat Pulau Pinang sepanjang 77 tahun PERR telah dianjurkan.
Berdasarkan rekod, Pulau Pinang pernah menjuarai kejohanan PERR pada edisi 1951, 1956, 1966, 1968, 1969, 1986, 1998 dan 2002.
Berjaya atasi pasukan pilihan
“Syukur, Alhamdulillah. Allah makbulkan doa kita semua untuk membawa pulang Piala Emas Raja-Raja ke Pulau Mutiara selepas 15 tahun,” ujar Abd Rahim ketika dihubungi Semuanya BOLA.
Pulau Pinang berjaya menewaskan pasukan pilihan, Kelantan, di pentas akhir PERR dengan keputusan 2-1, dalam perlawanan yang berlanjutan sehingga ke masa tambahan.
Lebih manis, kejayaan tersebut telah dilakar di laman lawan, iaitu di Stadium Sultan Muhammad ke-IV. Beraksi di tempat lawan pastinya sukar, namun Abd Rahim sebenarnya dari awal telah melaungkan keyakinan.
Berdasarkan sumber daripada Berita Harian, majoriti jurulatih dalam kejohanan PERR kali ini memilih Kelantan untuk merangkul kejuaraan, namun sebaliknya telah berlaku.
Hanya jurulatih Putrajaya, Abd. Ghani Long yang menaruh keyakinan bahawa Pulau Pinang mampu menewaskan Kelantan dan menenggelamkan sorakan penyokong tuan rumah, di Kota Bharu.
Walaubagaimanapun, ianya bukanlah satu tugas yang mudah buat Pulau Pinang.
Kelantan ‘liat’ di halaman sendiri
Kecemerlangan penjaga gawang Kelantan, Mohd Farmie Hussin telah berjaya menidakkan Pulau Pinang untuk lebih awal menamatkan perlawanan selaku juara kejohanan edisi kali ini.
“Kita dapat banyak peluang sepanjang perlawanan, cuma ketangkasan penjaga gol Kelantan berjaya menidakkan terhasilnya gol untuk pasukan Pulau Pinang.
“Dalam separuh masa pertama sahaja kita telah mendapat lebih kurang 10 tendangan sudut dan sekurang-kurangnya 4 percubaan tepat ke arah pintu gol Kelantan,” jelas Abd Rahim lagi.
Gol pertama perlawanan hanya terhasil pada minit ke-87 menerusi pemain Pulau Pinang, Muhd Nazrul Najmi yang membuat rembatan deras hasil sepakan sudut menewaskan Mohd Farmie.
Namun, Kelantan berjaya menyamakan kedudukan pada masa kecederaan menerusi jaringan Mohd Asraff Alifuddin untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
“Saya cuba menaikkan kembali semangat para pemain agar tidak berputus asa. Fight back. Biar apa pun yang terjadi,” jelas Abd Rahim apabila ditanya ungkapannya kepada para pemain sebelum masa tambahan bermula.
Hasilnya, penyerang Pulau Pinang, Muhd Shahrulnizam Anuar berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-112 untuk menobatkan pasukannya selaku juara PERR edisi 2017.
Julang PERR sebagai pemain, kini sebagai jurulatih
“Bersyukur dan puas,” itulah ungkapan daripada pengendali berusia 42 tahun itu apabila ditanya Semuanya BOLA perasaannya selepas berjaya merealisasikan impian Pulau Pinang untuk meraih kejuaraan PERR.
Abd Rahim adalah antara tunjang pasukan yang telah menjuarai PERR buat kali terakhir untuk Pulau Pinang pada edisi 2002 selepas menewaskan Kedah di tempat lawan, juga dengan keputusan 2-1.
Antara pemain-pemain yang beraksi bersamanya ketika itu adalah ketua jurulatih futsal negara ketika ini, Chiew Chun Yong dan bekas penjaga penjaga gawang negara, Megat Amir Faisal.
“Setelah berjaya merangkul piala yang sama pada 2002 sebagai pemain dan 2017 sebagai ketua jurulatih, ia adalah sesuatu yang sukar untuk diucapkan dengan kata-kata,” ujarnya lagi.
Sedia menabur bakti bersama Harimau Kumbang
Semuanya BOLA turut sempat bertanyakan mengenai minatnya untuk kembali membantu skuad Pulau Pinang yang akan beraksi di Liga Premier pada musim hadapan.
“InsyaAllah, andai khidmat saya diperlukan. Semuanya demi bola sepak Pulau Pinang,” tegasnya lagi yang juga pernah beraksi bersama Pulau Pinang selama 12 tahun.
Abd Rahim juga pernah bertindak selaku penolong jurulatih Pulau Pinang selama 5 tahun dan juga bersama Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP FC) untuk tempoh 4 tahun.
Pasukan Pulau Pinang kini dikhabarkan tidak menyambung kontrak jurulatih, Zainal Abidin Hassan dan pastinya dalam proses mencari pengganti untuk memacu kembali skuad Harimau Kumbang kembali ke Liga Super 2019.
“Saya ingin mencipta lebih banyak kejayaan di peringkat yang lebih tinggi,” ujar Abd Rahim yang turut menyatakan mahu cuba melahirkan seberapa ramai pemain muda di peringkat akar umbi melalui akademinya, Akademi Bola Sepak Abdul Rahim Hassan.
PERR perlu kekalkan Format Edisi 2017
Menurut Abd Rahim, kejohanan PERR kali ini telah meletakkan syarat untuk setiap pasukan mendaftarkan minimum lima orang pemain berumur bawah 21 tahun, dengan dua pemain diwajibkan untuk berada dalam kesebelasan utama.
“Ini secara langsung dapat memberi peluang kepada pemain-pemain yang tidak terpilih untuk mewakili skuad Piala Presiden atau skuad Piala Belia untuk beraksi,” ujar pertahanan kental Pulau Pinang di era 90-an ini lagi.
“Bagi saya kalau format sebegini masih kekal, PERR masih relevan untuk membantu program pembangunan pemain muda,” tambahnya lagi disamping memaklumkan Pulau Pinang telah menyenaraikan sembilan orang pemain berusia bawah 21 tahun.
Kenyataan Abd Rahim ini senada dengan kenyataan Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Melayu Pulau Pinang, Mohamed Azlan Hyder Ali dalam artikel ini.
Rumusan
Sudah tentu kejayaan Pulau Pinang merangkul kejuaraan PERR ini sedikit sebanyak mengubat duka penyokong bola sepak negeri itu yang melalui musim Liga Malaysia yang suram.
Semoga kejayaan skuad PERR Pulau Pinang boleh dijadikan pemangkin kebangkitan bola sepak skuad Harimau Kumbang pada musim yang akan datang.