Quantcast

BERITA

Aaron Ramsey Minta Maaf Kerana ‘Curi’ Gol Cristiano Ronaldo

Pemain tengah Juventus, Aaron Ramsey mengakui beliau telah memohon maaf kepada Cristiano Ronaldo selepas tindakannya ‘mencuri’ jaringan bintang kelahiran Portugal itu pada pertemuan menentang Lokomotiv Moscow, semalam.

Pada perlawanan di Lokomotiv Stadium itu, Ronaldo hanya memerlukan satu lagi gol untuk menjadikannya pemain pertama yang meledakkan jaringan menentang 34 pasukan berbeza dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Rekod itu kelihatan mampu untuk dicipta apabila sepakan percuma yang diambil Ronaldo pada minit ketiga gagal ditangkap kemas penjaga gol Lokomotiv Moscow, Guilherme.

Namun, ketika bola semakin hampir untuk melepasi garisan gol, Ramsey meluru pantas sekaligus menolak masuk bola ke gawang tuan rumah untuk gol pembukaan.

Ramsey bagaimanapun mempunyai alasan kukuh mengapa beliau bertindak dengan menyudahkan peluang tersebut.

”Saya merasakan penjaga gol sangat dekat dengan saya dan dia mempunyai peluang ‘diving’ semula bagi menyelamatkan bola tersebut.”

”Naluri saya adalah untuk memastikan bola tersebut benar-benar melepasi garisan gol.”

”Saya telah meminta maaf kepada Cristiano [Ronaldo],” ujar Ramsey lagi.

Masih gagal memecahkan rekod tersebut, Cristiano Ronaldo kini terikat bersama-sama Lionel Messi dan Raul Gonzalez apabila mereka telah menjaringkan gol berdepan 33 lawan berbeza dalam kempen UCL.

Kredit foto: Goal