Rekrut terbaharu Jurgen Klopp dari Brazil, Fabinho mendapat sokongan kuat dari rakan senegara yang beraksi untuk Paris Saint-Germain (PSG), Thiago Silva bagi menghadapi cabaran baru dalam karier di England.
Kapten PSG dan Brazil tersebut menegaskan bahawa pemain berusia 24 tahun yang didatangkan dari Monaco itu akan cepat untuk menyesuaikan diri bagi menggalas tanggungjawab berat di Anfield pada musim hadapan.
Silva kini berada di Pusat Latihan Tottenham bersama skuad kebangsaan Brazil sedang menjalani persiapan menjelang Piala Dunia 2018 memuji rakan yang sering dihadapinya dalam saingan Ligue 1 itu.
”Dia (Fabinho) benar-benar pemain yang pintar, merupakan seorang pemain yang teknikal dan saya pasti dia akan menyesuaikan diri dengan cepat dengan aksi Liga Perdana Inggeris sebaik sahaja tiba di sana.”
Dalam pada itu, Silva turut mengakui Fabinho merupakan seorang pemain serba boleh dan dapat membantu pasukan yang beraksi dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah beberapa hari yang lalu itu.
”Dia telah mengubah posisi ketika beraksi bersama Monaco. Dia adalah seorang pemain pertahanan kanan dan kini dia merupakan pemain di posisi tengah.”
”Saya tidak tahu bagaimana Liverpool akan berfikir untuk meletakkannya di mana tetapi saya pasti mereka akan menggunakan dia di kedua-dua posisi.”
Jurgen Klopp turut memuji pemain yang mempunyai empat kaps antarabangsa bersama skuad kebangsaan Brazil itu dengan menyifatkan Fabinho sebagai pemain yang mempunyai keupayaan dan mentaliti untuk beraksi di tahap tertinggi dalam beberapa posisi.
”Dia boleh bermain sebagai nombor ‘6’, ‘8’ dan ‘2’.”
Fabinho atau nama penuhnya Fábio Henrique Tavares, lahir di Campinas, Sao Paulo beraksi di Portugal (Rio Ave) pada usia remajanya dan kemudian berhijrah ke Real Madrid Castilla.
Pada musim 2013/14, beliau memilih untuk berhijrah ke Monaco dan musim hadapan bakal beraksi dalam aksi Liga Perdana Inggeris selepas melengkapkan perpindahan ke Liverpool dengan nilai sekitar £39 juta.
Foto: Daily Star