Sejarah kini telah pun tercipta!
Pemain muda Wan Kuzain Wan Kamal kini sudah mencipta sejarah apabila melakukan penampilan sulung beliau di peringkat senior dalam aksi Major League Soccer (MLS).
Beliau yang mewakili Sporting Kansas City (Sporting KC) muncul sebagai pemain gantian yang menggantikan Roger Espinoza pada minit-minit akhir permainan.
Sejarah ini berlaku dalam perlawanan MLS melibatkan Sporting KC dan juga Columbus Crew yang menyaksikan keputusan seri tanpa jaringan dicatatkan oleh kedua-dua pasukan.
Untuk rekod, Kuzain menjadi pemain ke-8 termuda dalam sejarah kelab yang beraksi dalam musim tetap (regular season) MLS.
Dalam masa yang sama, Kuzain menjadi pemain homegrown kedua termuda yang Sporting KC yang melakukan penampilan bersama skuad utama kelab tersebut.
Kuzain merupakan pemain keluaran akademi Sporting KC yang mula menyertai mereka sebagai pemain remaja pada tahun 2016.
Pada tahun yang sama, beliau menyertai akademi Swope Park Rangers menerusi kontrak pemain akademi sebelum menandatangani kontrak sebagai pemain United Soccer League (USL) dengan pasukan yang sama.
Pada 2018, Kuzain memperoleh kontrak homegrown bersama Sporting KC pada bulan April sebelum melakukan penampilan pertama bersama pasukan utama Sporting KC.
Kuzain merupakan pemain yang cukup mendapat perhatian di Malaysia kerana susur galur keluarga beliau yang merupakan rakyat Malaysia.
Cuma Kuzain pada masa kini memperoleh kerakyatan Amerika Syarikat kerana beliau dilahirkan di Carbondale, Illinois walaupun ibu bapanya kedua-duanya orang Malaysia.
Apapun, tahniah di atas penampilan pertama anda di MLS dan semoga terus berjaya!