Kecederaan Mohamed Salah mengundang pelbagai reaksi dari seluruh dunia. Rata-rata penyokong Liverpool dan Salah menyalahkan Sergio Ramos kerana kecederaan tersebut.
Namun reaksi dari Mesir ini jelas selangkah di hadapan berbanding yang lain.
Seorang penguam dari Mesir dilaporkan telah memfailkan saman bernilai €1 billion (RM4.6b) ke atas Ramos kerana mengakibatkan pemain bintang Mesir itu mengalami kecederaan.
Kedua-dua pemain kelihatan pada mulanya berebut secara fizikal untuk mendapatkan bola, sebelum kedua-dua pemain terjatuh yang menyebabkan dislokasi bahu kepada Salah.
Terdapat teori yang mengatakan Ramos sengaja menjatuhkan Salah. Namun sukar untuk mengatakan Ramos sengaja mengasari sehingga Salah mengalami kecederaan tersebut.
Bagaimanapun, kecederaan yang dialami oleh penyerang sayap Liverpool itu dalam perlawanan tersebut menyebabkan beliau berisiko tersisih daripada membawa cabaran Mesir di Piala Dunia.
Walaupun Salah telah memuat naik ke dalam Twitter untuk menyatakan keyakinan sempat sembuh menjelang sepak mula Piala Dunia pada 14 Jun hadapan, ia jelas tidak cukup meyakinkan Bassem Wahba, peguam yang jelas marah akan tindakan Ramos.
Di dalam satu siaran televisyen, Sada El-Balad di Mesir, Wahba telah mengumumkan telah membuat aduan bertulis kepada FIFA dengan menuduh Ramos berniat mencederakan Salah.
“Ramos jelas sengaja berniat mencederakan Salah, dan patut dihukum. Saya telah memfailkan saman dan menulis aduan rasmi kepada FIFA.”
“Sudah tentu saya juga meminta ganti rugi bernilai €1 billion untuk apa yang terjadi kepada Salah dan juga Mesir amnya,” ujar Wahba.
Sekiranya memenangi saman tersebut, Wahba berkata akan mendermakan wang tersebut kepada sebuah tabung dana Mesir.
Selain daripada tindakan oleh Wahba, satu petisyen di Change.org turut telah diwujudkan untuk menggesa UEFA dan FIFA mengambil tindakan sewajarnya terhadap Ramos.
Sehingga artikel ini ditulis, lebih daripada 370,000 tandatangan telah diperolehi.