Menurut laporan Berita Harian, Kelab Thai League 1 (TL 1), Nakhon Ratchasima FC tidak akan melepaskan penyerang sensasi, Paulo Rangel ke Kedah sehingga 27 Mei ini.
Ia berikutan pendedahan oleh sumber dalaman Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang menyatakan khidmat Rangel diperlukan oleh kelabnya untuk perlawanan pada 26 Mei ini.
Nakhon Ratchasima dijadualkan akan turun menentang kelab di kedudukan ke-5 liga, Chiangrai United di tempat lawan dan pastinya khidmat Rangel mahu ditagih.
Untuk saingan liga, Rangel kini merupakan penjaring terbanyak untuk kelab yang berpengkalan di Khorat itu dengan lima gol.
Pada musim lalu, beliau telah meledak 11 gol dari 17 aksi.
“Kita difahamkan tempoh liga untuk pusingan pertama di Thailand adalah sehingga hujung bulan ini dan di pihak kita pula terpaksa mengejar masa kerana proses pendaftaran pemain pada jendela perpindahan di Malaysia akan tamat pada 3 Jun.
“Tempoh lanjutan ini meresahkan Kedah kerana kita tahu tempoh perpindahan akan ditutup pada 3 Jun depan dan pelepasan di saat akhir nanti boleh mengundang risiko daripada segi tempoh masa pendaftaran di pihak kita,” ujar sumber berkenaan kepada BH.
Difahamkan pihak KFA telah menyediakan dokumentasi dan kontrak untuk penyerang berusia 33 tahun itu dan hanya menantinya yang sepatutnya tiba pada 20 Mei lalu.
Sebagai penyerang yang diketahui umum sangat prolifik di Liga Malaysia (Liga M), sentuhannya sangat diperlukan oleh Kedah yang kurang menjadi di jentera serangan musim ini.
Untuk rekod sepanjang beraksi di Liga M untuk tempoh 4 tahun (2013-2016), dia telah meledak 54 gol untuk 4 pasukan iaitu Perak, Selangor, Terengganu dan JDT II.
KFA risau pendaftaran Rangel akan gagal sekiranya dia lewat tiba untuk melengkapkan perpindahannya itu nanti. Oleh itu, mereka telah bersedia dengan beberapa pilihan lain.
“Kita juga terpaksa bersedia dengan beberapa calon lain yang ada dalam perancangan kita sebelum ini dalam menghadapi apa saja kemungkinan yang bakal diputuskan nanti,” jelas sumber itu.
Mungkin salah satu calon pengganti yang dapat diperkatakan ketika ini adalah bekas penyerang musim lalu, Ken Ilso yang baharu sahaja meninggalkan pasukan Pulau Pinang.
Ilso telah meledak 15 gol buat Kedah dalam aksi liga sepanjang musim lalu dan merupakan calon yang disebut-sebut oleh para penyokong Kedah sebelum ini.
“Saya berharap penyokong faham keadaan situasi dimana kita menerima pemain yang berminat untuk menyertai pasukan kita tetapi pada masa yang sama beliau masih terikat kontrak dengan pasukan lain.
“Walau bagaimanapun kita masih menunggu ‘lampu hijau’ dari kelab berkenaan dan sebarang perkembangan lanjut akan kita maklumkan secepat mungkin.” katanya lagi.