Menteri Besar Kedah yang baru sahaja ditabalkan, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata beliau sanggup kembali menerajui Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sekali lagi.
Malah Mukhriz yang pernah menyandang jawatan Presiden KFA ketika menjawat jawatan Menteri Besar sebelum ini sanggup memegang apa-apa sahaja jawatan di dalam KFA, asalkan ia mampu menjamin pembangunan bola sepak di negeri berkenaan dijalankan sebagaimana yang sepatutnya.
Bercakap kepada pemeberita petang semalam, Mukhriz dipetik sebagai berkata:
“Kalau penyokong rasa saya sesuai untuk terajui KFA sekali lagi sebagai Presiden KFA, saya boleh terima cadangan tersebut tetapi perlu lihat adakah tindakan itu perlu atau cukup sekadar saya membantu dari luar sahaja.
“Saya tahu. Sebelum ini dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) Kedah telah menyatakan bahawa akan menilai semula penglibatan ahli politik dalam KFA kerana ia merupakan salah satu punca kepada masalah bola sepak Kedah sebelum ini.”
“Oleh itu saya serahkan perkara ini untuk diputuskan sendiri oleh pengurusan tertinggi KFA dan juga penyokong,” jelas Menteri Besar berusia 53 tahun itu.
Mukhriz juga menjelaskan bahawa beliau sendiri mahu melihat KFA di bawah kendalian mereka yang pakar dan profesional di dalam bola sepak.
Datuk Seri Mukhriz Mahathir pernah dilantik sebagai Presiden KFA pada Julai 2013. Seramai 28 ahli gabungan terdiri perwakilan yang mewakili persatuan-persatuan sukan sebulat suara melantik Mukhriz pada ketika itu.
Mukhriz dilantik sebagai presiden bagi menggantikan bekas Menteri Besar yang juga bekas presiden KFA Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang dilantik secara automatik menjawat jawata tersebut sebelum itu.
Kerusi itu kosong ekoran kesihatan azian merosot dan melepaskan jawatan itu pada Jun tahun tersebut.
Selepas mengharungi 10 perlawanan unifi Liga Super Malaysia pada musim ini, Kedah berada di kedudukan ke-6 dengan 15 mata, 10 mata dari kedudukan teratas liga yang diterajui JDT.