Akhbar tempatan, Kosmo hari ini melaporkan empat atau lima pemain daripada skuad Akademi Mokhtar Dahari (AMD B-13) akan menjalani latihan bersama Akademi kelab gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) akhir bulan ini atas permintaan kelab tersebut yang berminat dengan aksi mereka sepanjang tiga minggu berada di Perancis.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar, beliau berkata pemain yang terpilih ke PSG akan pulang ke Malaysia terlebih dahulu untuk menyelesaikan beberapa perkara penting.
“Sebelum ini kita turut mendapat tawaran daripada Manchester City dan Manchester United selepas kelab tersebut ingin mendapatkan enam pemain cilik negara bagi menjalani latihan bersama mereka, namun kami memilih PSG atas beberapa faktor.
“Perancangan sebelum ini adalah pemain akan terus tinggal di Perancis bermula 1 Mei, namun mereka perlu pulang ke Malaysia terlebih dahulu untuk menyelesaikan sesi persekolahan yang tertangguh sepanjang berada di sana.
“Setelah berbincang, kami memutuskan semua pemain yang akan menjalani latihan bersama PSG akan dihantar tetapi mereka perlu menyelesaikan perkara yang lebih penting dahulu di sini.
“Kita pasti akan menghantar pemain tersebut kerana ia adalah peluang keemasan yang diperoleh AMD B-13 bagi menggilap bakat-bakat muda untuk menerajui bola sepak tanah air satu hari nanti,” katanya seperti dipetik dalam Kosmo.
Skuad AMD B-13 berjaya mengungguli tempat ketiga pada kejohanan Piala Balisier edisi kelapan di Perancis akhir bulan lalu sekali gus melakar dua kejayaan dalam tempoh tiga minggu di peringkat Eropah.
Mereka mencatat kemenangan 1-0 bagi penentuan tempat ketiga dan keempat hasil jaringan Muhammad Danish Haikal Abdullah ketika berdepan Schiltighiem di Stadium Nelson Mandela, Sarcelles, manakala juara diraih oleh Akademi AS Nancy yang beraksi untuk Ligue 2 Perancis.
Sebelum ini AMD B-13 meraih tempat keempat setelah berjaya mengatasi beberapa akademi kelab ternama Perancis seperti Paris Saint-German (PSG), FC Metz dan FC Nantes pada kejohanan Piala Joinville sebelum mara ke separuh akhir menentang AS Nancy, namun tewas dengan penentuan sepakan penalti.
AMD Cougars B13 di tempat ke-4 dari 24 pasukan di Kejohanan #JoinvilleCup di Paris.
Kejohanan ini disertai akademi2 kelab profesional di Peranchis termasuklah PSG.
Pemain terbaik kejohanan – Rohisham Haiqal
GK terbaik kejohanan – Hazriq Haqqim
Syabas!! @nfdpmalaysia @Khairykj pic.twitter.com/ndLNFuizgB— safirul (@SafirulAbuBakar) April 16, 2018
AMD B-13 satu-satunya wakil dari Asia yang dijemput untuk menyertai dua kejohanan tersebut yang disertai lebih 20 akademi kelab Liga Perancis yang berlangsung pada 14, 15 dan 29 April lepas.
“Walaupun AMD B-13 tidak berjaya menjulang trofi, namun ia sudah memadai apabila mereka layak menduduki tempat ketiga dan keempat kerana kejohanan tersebut turut disertai akademi pasukan terkemuka di Perancis.
“Kita dapat melihat pemain mempamerkan peningkatan pada setiap perlawanan dihadapi dan meraih tempat keempat pada kejohanan pertama dan berjaya naik ke kedudukan ketiga pada pertandingan kedua yang turut disertai hampir keseluruhan pasukan yang sama.
“Prestasi pasukan boleh dilihat dari segi keputusannya, manakala prestasi pemain pula menyaksikan Rohisham Haiqal mendapat Anugerah Pemain Terbaik dan penjaga gol disandang oleh Hazriq Haqqim bagi kejohanan pertama.
“Kejayaan ini membuktikan pasukan muda negara mampu bersaing pada peringkat Eropah dan pendedahan ini amat penting kepada mereka bagi meningkatkan keyakinan diri apabila beraksi di peringkat tertinggi,” katanya.