Penjaga gol Manchester United, David De Gea berjaya mengelakkan gawangnya dari dibolosi pada pertemuan menentang West Ham United awal pagi tadi dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Pencapaian tersebut menjadikan penjaga gol antarabangsa Sepanyol itu sudah mencatatkan 18 ‘clean sheets’ pada musim ini.
Kejayaan peribadi buat dirinya telah dicipta apabila De Gea sudah mengesahkan anugerah ‘Premier League Golden Glove’ buat pertama kali sepanjang kariernya di England.
Berada di tempat kedua adalah penjaga gol Manchester City, Ederson Moraes setelah mencatatkan 16 ‘clean sheets’.
Dengan aksi Liga Perdana Inggeris hanya berbaki satu perlawanan sahaja lagi untuk diharungi, Ederson sudah pasti tidak mampu untuk mengejar De Dea bagi merebut gelaran tersebut.
Enam orang penjaga gol berbeza telah meraih anugerah yang mula diperkenalkan pada musim 2004/05 itu.
Joe Hart dan Petr Cech telah memenangi gelaran tersebut sebanyak empat kali dalam karier mereka.
Bekas penjaga gol Liverpool, Pepe Reina pula memenangi sebanyak tiga kali.
Thibaut Courtois, Wojciech Szczesny dan Edwin Van Der Sar pula masing-masing memenanginya sekali.
Dengan kejayaan itu menjadikan David De Gea sebagai penjaga gol pertama dari Manchester United yang meraih gelaran ini sejak dimenangi Edwin Van Der Sar pada musim 2008/09 dan juga penjaga gol Sepanyol pertama sejak Reina memenanginya pada musim 2007/08.
Rekod tidak dibolosi yang paling banyak dicipta adalah milik Petr Cech yang ketika itu beraksi untuk Chelsea selepas beliau tidak dibolosi dalam 24 perlawanan.