Tewas Perlawanan Separuh Akhir Kedua, 5 Pasukan Ini Tetap Ke Final Champions League

Dalam aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Liverpool telah tewas 2-4 kepada AS Roma, namun berjaya meloloskan diri ke final apabila menang secara agregat 7-6.

Mungkin pedih untuk diterima oleh Roma, tetapi ia umpama anugerah terindah buat Liverpool dan para penyokongnya. Keraian bukan sahaja di bumi Liverpool tetapi di serata dunia.

Sebenarnya ia tidaklah terlalu unik, kerana terdapat banyak kelab yang tewas di perlawanan timbal balik peringkat separuh akhir UCL, namun berjaya melangkah ke perlawanan akhir.

Ia sama ada menerusi agregat, peraturan kelebihan gol di tempat lawan atau menerusi penentuan sepakan penalti. Ketiga-tiga situasi tersebut pernah berlaku sejak era 2000-an.

Semuanya BOLA akan mengimbau 5 pasukan yang tewas di separuh akhir kedua UCL tetapi berjaya melangkah ke perlawanan akhir di era 2000-an berdasarkan keputusan agregat.

1) UCL 2016/17: Atletico Madrid 2-1 Real Madrid (Real Madrid menang agregat 4-2)

Hatrik Cristiano Ronaldo ketika aksi pertama di Santiago Bernabeu menjadi asas kuat buat Real Madrid untuk berasa lebih kukuh untuk berkunjung ke laman lawan.

Namun, Atletico Madrid bermula dengan garang, memporak-perandakan jentera tengah Real Madrid dan berjaya mendapatkan dua gol seawal 20 minit pertama.

Perlawanan tersebut dilabelkan sebagai pra-perpisahan buat stadium milik Atletico, Vicente Calderon, yang telah digunakan oleh mereka lebih separuh dekad.

Dek kerana itu, para pemain dan penyokong telah memberikan segalanya untuk memenangi perlawanan tersebut. Mereka berjaya menundukkan Real Madrid, tetapi gagal ke final.

Atletico tidak hanya bangkit untuk mengurangkan defisit kepada 2-3 tetapi beraksi dengan penuh bertenaga. Namun, jaringan Isco di penghujung babak pertama menyentak semangat lawan.

Perlawanan tamat dengan anak buah Zinedine Zidane menang 4-2 secara agregat seterusnya layak ke pentas akhir UCL buat kali ketiga dalam tempoh 4 tahun.

Foto: Angel Martinez/Real Madrid via Getty Images

2) UCL 2014/15: Barcelona 2-3 Bayern Munich (Barcelona menang agregat 5-3)

Sebagaimana Real Madrid, Barcelona juga telah membawa bekalan selesa ke laman lawan untuk aksi timbal balik menentang jagoan Jerman, Bayern Munich hasil kemenangan 3-0 di Nou Camp.

Luis Suarez menyediakan tujahannya, Lionel Messi dengan visinya dan Neymar dengan sentuhan tajamnya dan mencetak dua gol selepas setengah jam perlawanan berlangsung.

Sebelum sepak mula lagi perlawanan ini sebenarnya sudah sukar buat Bayern Munich. Mereka sudah tiga perlawanan berturutan gagal meledak sebarang gol.

Sementara Barcelona pula dalam posisi selesa, menang aksi pertama, tidak bolos hampir sebulan serta hanya tewas sekali sejak dari bulan Februari, iaitu hampir 4 bulan!

Bayern Munich telah beri segalanya dan pengurusnya Pep Guardiola telah awal-awal memberi jaminan pasukannya akan ‘buat apa sahaja’ untuk layak ke pentas akhir.

Namun ianya dilihat memakan diri apabila Barcelona menggunakan ruang yang ada akibat kerapuhan benteng dek kerana ‘high line pressing’ yang melampau oleh Bayern Munich.

Foto: Kai Pfaffenbach/Reuters

3) UCL 2012/13: Borussia Dortmund 0-2 Real Madrid (Borussia Dortmund menang agregat 4-3)

Borussia Dortmund menang selesa 4-1 ke atas Real Madrid dalam aksi pertama di laman sendiri hasil ledakan 4 gol oleh penyerang sensasi, Robert Lewandowski.

Beraksi dengan selesa di Santiago Bernabeu dan berjaya mengekang Real Madrid sejak dari awal, mereka disentak oleh dua gol lawan menuju 8 minit terakhir perlawanan.

Anak buah Jose Mourinho berjaya merapatkan jurang gol namun ianya agak lewat. Sejak awal Real Madrid seakan-akan tiada momentum apabila terlepas banyak peluang.

Dortmund wajar dipuji kerana kekal tenang dan perlahan-lahan menguasai perlawanan disebalik perlawanan yang tampak ‘gila’ disebabkan deretan serangan yang dicipta Real Madrid.

Kedudukan 4-3 dan berbaki dua minit masa sebenar, Real Madrid kembali yakin mereka mampu untuk mencari satu lagi gol. Tambahan masa 5 minit seakan-akan memihak kepada mereka.

5 minit yang penuh debaran apabila Dortmund tidak mengalah dengan turut sama melakukan serangan. Namun, segalanya berakhir apabila Howard Webb meniupkan wisel penamat.

Foto: Angel Martinez

4) UCL 2009/10: Inter Milan 0-1 Barcelona (Inter Milan menang agregat 3-2)

Inter Milan yang dibimbing Jose Mourinho ketika itu membawa bekalan kurang selesa selepas Barcelona meraih satu gol berharga di San Siro dalam aksi timbal balik pertama.

Dan dalam perlawanan kedua ini, Mourinho dikatakan telah menghasilkan satu aksi bertahan yang terbaik kerana telah dipaksa beraksi lebih sejam dengan hanya 10 pemain.

Ianya selepas pemain tengah, Thiago Motta dilayangkan kad merah kerana kekasaran terhadap Sergio Busquets namun Barcelona tetap gagal memanfaatkan peluang itu.

Ada yang mengatakan ia keputusan tidak wajar oleh pengadil kerana Motta terus dilayangkan kad merah selepas tangannya dikatakan dengan sengaja mengenai muka Busquets.

Disebabkan itu, Inter seawal minit ke-30 telah mempratikkan aksi bertahan yang mengamalkan taktikal bertekanan tinggi. Mereka dilihat lebih selesa memenuhkan pemain di zon pertahanan.

Walaupun pemain gantian, Bojan berjaya meledak gol kedua Barcelona, pengadil telah membatalkannya atas kesalahan handball Yaya Toure, melenyapkan terus impian Barcelona.

Foto: talksport.com

5) UCL 1999/00: Real Madrid 1-2 Bayern Munich (Real Madrid menang agregat 3-2) / Valencia 1-2 Barcelona (Valencia menang agregat 5-3)

Kedua-dua finalis pada musim 1999/00 ini iaitu Real Madrid dan Valencia telah melangkah ke final walaupun tewas dalam aksi timbal balik di laman lawan.

Real Madrid menang 2-0 di Santiago Bernabeu, namun kunjungan ke Olympiastadion menyaksikan mereka bolos terlebih dahulu seawal minit ke-12 hasil jaringan Carsten Jancker.

Nicolas Anelka dan Raul tampak ‘kesunyian’ di jentera atas dengan Bayern Munich dilihat telah berjaya mengekang Real Madrid daripada masuk ke kawasan mereka.

Jaringan penyamaan Anelka mengakibatkan tuan rumah perlu mencari 3 gol untuk layak ke final. Bayern Munich berjaya mendapat satu lagi gol, namun ia tidak cukup buat mereka.

Sementara Valencia pula selesa dengan defesit 3 gol hasil kemenangan 4-1 di tempat sendiri. Kehadiran semula Luis Figo yang pulih dari kecederaan diharap akan membantu Barcelona.

Ia satu perlawanan yang sengit walaupun dikuasai oleh Barcelona dengan gol hanya terhasil bermula pada minit ke-69, hasil jaringan pemain tengah Valencia, Gaizka Mendieta

Dua pertukaran pemain oleh Barcelona iaitu kapten Pep Guardiola dan Abelardo Fernández dilihat berjaya merubah rentak mereka dengan Frank de Boe berjaya meledak gol.

Berbaki 10 minit, Barcelona dilihat lebih panik untuk mencari 3 lagi gol namun mereka hanya berjaya menemui jaringan pada penghujung perlawanan hasil jaringan Phillip Cocu.

Foto: Reuters

Penutup

Itu adalah antara 5 detik yang telah menerbangkan Real Madrid, Barcelona, Borussia Dortmund, Inter Milan dan Valencia dari separuh akhir ke pentas akhir UCL.

Ia bukanlah semata-mata nasib, ia juga mungkin strategi yang dirangka seawal perlawanan pertama oleh pasukan yang beraksi di laman sendiri dengan menjaringkan gol sebanyak mungkin.

Begitu juga dengan kisah Liverpool yang telah membawa bekalan selesa ke sangkar Roma, Stadium Olimpico, yang diketahui umum sukar buat mereka untuk bermaharajalela.

Daripada 5 detik tersebut, empat daripadanya telah menjuarai UCL pada musim tersebut dengan hanya Borussia Dortmund yang kecundang di pentas akhir pada musim 2012/13.

Jadi, apakah Liverpool akan mengikut jejak 4 pasukan yang berjaya atau Jurgen Klopp akan sekali lagi kecundang di pentas final sepertimana ketika dia membimbing Dortmund?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN