Dua pasukan dari pantai timur tanah air, Terengganu FC dan Pahang bakal berentap sesama sendiri bagi mengharungi aksi ke-8 saingan unifi Liga Super Malaysia 2018 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.
Kedua-dua pasukan ketika ini menduduki empat tangga teratas saingan liga selepas Pahang berada ditempat kedua dengan mencatatkan 14 mata manakala Terengganu ketinggalan dua mata untuk menghuni tangga ke-4.
Misi menang buat kedua-dua pasukan
Terengganu FC perlu menggunakan kesempatan beraksi di laman sendiri untuk mengukir satu lagi kemenangan selepas hanya mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika bertemu Kedah pada Jumaat lalu.
Kemenangan keatas skuad bimbingan Dollah Salleh itu juga dapat melonjakkan kedudukan Terengganu dalam saingan liga sekurang-kurangnya untuk berada di atas pasukan Pahang.
Pahang yang kini berada di mood terbaik untuk terus merakamkan kemenangan sudah pasti mengintai peluang tersebut bagi terus menghambat Johor Darul Ta’zim yang sedikit selesa di persada liga.
Pencapaian lima perlawanan terakhir Liga Super
Pahang mencatatkan pencapaian lebih baik berbanding Terengganu FC selepas menang empat perlawanan dan mencatatkan satu keputusan seri.
- Menang 2-0 bertemu Melaka United (28 April)
- Seri 2-2 bertemu Kuala Lumpur (15 April)
- Menang 4-0 bertemu Negeri Sembilan (10 Mac)
- Menang 3-1 bertemu Selangor (24 Februari)
- Menang 3-0 bertemu Kelantan (10 Februari)
Terengganu FC pula mencatatkan tiga kemenangan, satu seri dan satu kekalahan dalam lima perlawanan terakhir mereka dalam Liga Super.
- Seri 1-1 bertemu Kedah (27 April)
- Menang 3-0 bertemu Melaka United (13 April)
- Kalah 1-0 kepada JDT (10 Mac)
- Menang 2-1 bertemu Negeri Sembilan (23 Februari)
- Menang 4-1 bertemu Selangor (10 Februari)
Pemain tumpuan Terengganu FC
Jika sebelum ini sudah pastinya kelibat tonggak utama, Kipre Tchetche menjadi nadi kepada jentera serangan Terengganu FC serta igauan ngeri buat pertahanan lawan.
Namun, kelibat pemain Terengganu II, Bruno Suzuki yang dibawa ke skuad utama dilihat memberikan sumbangan bermakna buat pasukan.
Kehadiran Bruno yang kembali bergandingan bersama rakan sepasukannya ketika di Negeri Sembilan pada musim lalu, Lee Tuck berjaya meningkatkan kreativiti di bahagian serangan Terengganu.
Beliau telah mencipta tiga bantuan jaringan setakat ini dan pengendali Pahang, Dollah Salleh pasti tidak akan membiarkan Bruno bermaharajalela malam ini.
Pemain tumpuan Pahang
Tidak lain dan tidak bukan, semestinya Patrick Dos Santos Cruz bakal menjadi duri dalam daging buat pertahanan Terengganu FC.
Cruz berada di tahap terbaik selepas meledak hatrik pada pertemuan suku akhir kedua Shopee Piala FA Malaysia di Larkin tempohari.
Beliau kemudiannya terus menemui sentuhan jaringan dengan menjaringkan satu gol ketika kemenangan 2-0 keatas Melaka United pada Sabtu lalu.
Mengikut laman web rasmi Terengganu FC, Patrick Cruz juga mempunyai rekod jaringan yang baik di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah ketika beliau beraksi bersama T-Team.
Perkembangan pemain
Tonggak pasukan Terengganu FC yang sebelum ini mengalami kecederaan Kipre Tchetche bersama-sama Faiz Nasir dan Nasrullah Hanif dilaporkan hanya menjalani latihan ringan dan berkemungkinan mereka masih tidak dapat diturunkan pada perlawanan malam ini.
Dua lagi pemain, Shahrul Aizad Zulkifli dan Abdul Malik Mat Ariff juga terpaksa diketepikan selepas kecederaan yang dialami mereka memerlukan rawatan yang lebih lanjut.
Pahang pula bakal beraksi tanpa dua pemain utama iaitu Matthew Davies dan Safuwan Baharudin.
Davies masih belum cergas sepenuhnya dari kecederaan paha yang dialami manakala Safuwan digantung satu perlawanan secara automatik selepas beliau sudah menerima tiga kad kuning.