Antonio Conte menyatakan, krisis prestasi Chelsea musim ini adalah kerana tiada penjaring gol yang tajam (recognized true goalscorer).
Musim ini, pemain penyerang sayap dalam (inside forward) telah menjadi penjaring gol utama mereka. Hazard melakukan 12 gol setakat ini. Untuk prestasi peribadi ianya memang cukup baik untuk bukan no.9.
Tetapi untuk pasukan, jelas sekali Chelsea memerlukan pemain yang menjaringkan lebih banyak gol daripada itu.
Alvaro Morata menjadi pembelian termahal dalam sejarah kelab mereka awal musim ini dari Real Madrid. Setakat ini hanya menjaringkan 11 gol.
Ini yang membuatkan Chelsea berusaha bersungguh-sungguh membawa Olivier Giroud ke Stamford Bridge.
Musim lalu Chelsea memiliki penjaring yang konsisten di depan gol iaitu Diego Costa. Namun pemain tersebut dijual ke Atletico Madrid.
Costa musim lalu membantu Conte menjulang EPL dengan Chelsea pada musim debut Conte dengan 20 gol.
Chelsea kini dalam usaha untuk mengejar slot UCL terakhir. Mereka mahu mengejar Tottenham Hotspur dan Liverpool.
Bercakap kepada Daily Mail, Conte berkata:
“Penjaring terbanyak kami pun hanya menjaringkan 12 gol setakat ini. Jika anda hanya memiliki penjaring 12 gol pada fasa ini, ia menunjukkan pasukan anda sedang bergelut untuk mengejar sesuatu musim ini.”
“Ini adalah realiti dan statistik sudah berbicara. Saya berpendapat, kami harus lebih tajam di hadapan gol dan membunuh perlawanan.”
Mujurlah ketika ini, Olivier Giroud dalam prestasi yang agak baik menjelang perlawanan penting menentang Liverpool pada hujung minggu ini.