Kekalahan 1-2 kepada Real Madrid di laman sendiri pada aksi pertama separuh akhir Liga Juara Juara, minggu lepas ternyata belum memadam impian kelab gergasi Jerman, Bayern Munich untuk mara ke perlawanan akhir.
Bagaimanapun menurut penyerang pasukan itu Thomas Muller, mereka belum berputus asa untuk mara ke final dan berjanji Bayern akan tampil dengan mentaliti serta aksi berbeza pada aksi kedua separuh akhir di gelanggang lawan.
“Madrid adalah Madrid, kami dapat lihat mereka cukup tenang untuk memanfaatkan peluang.
“Kami memerlukan mentaliti yang berbeza di depan pintu gol, sesuatu yang amat berbeza mengikut pendapat saya.
“Apa pun, kami belum mengalah kerana masih ada 90 minit perlawanan dan dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku,” katanya.
Sementara itu, pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane menjangkakan satu lagi perlawanan sukar bakal ditempuh berdepan juara Jerman itu bagi aksi timbal balik.
“Kami perlu menghasilkan prestasi yang amat baik jadi saya meminta peminat-peminat untuk mencipta suasana lebih bising berbanding apa yang mereka pernah lakukan dalam sejarah kelab kerana kami memerlukan mereka untuk ke final,” kata Zidane.
“Ia adalah perlawanan paling utama kami tahun ini dan peminat mengetahuinya. Kami mahu peminat untuk berada di belakang kami sejak dari minit pertama sehingga ke-90.”
Penyandang juara itu turut menyingkirkan gergasi Jerman itu pada musim lalu di pentas suku akhir tetapi memerlukan tambahan masa untuk mara.
Mereka turut menempah detik mencemaskan pada perlawanan Eropah terakhir di laman sendiri ketika suku akhir apabila ketinggalan 0-3 kepada Juventus sebelum memperoleh penalti di saat akhir yang disempurnakan Cristiano Ronaldo untuk mara dengan agregat 4-3.
“Saya tidak tahu jika apa yang berlaku ketika menentang Juve dan Bayern akan membantu kami. Apa yang saya tahu ialah kami perlu menampilkan persembahan yang paling baik,” kata Zidane.
“Tetapi kami sudah bersedia dan bertekad tinggi. Kami perlu mengharungi permainan yang tidak pernah kami lalui tahun ini, kami memerlukan tumpuan, keinginan, komitmen untuk memenangi pertarungan.
“Kami perlu melakukan segala-galanya yang kamu boleh fikir dalam bola sepak dan memberikan segala-galanya untuk mencapai objektif iaitu mara ke final.”