Berita mengenai keputusan pemain tengah Barcelona, Andres Iniesta untuk meninggalkan kelab Catalan itu pada penghujung musim ini sudah menjadi tajuk utama seluruh dunia.
Persoalan yang bermain di minda para penyokong Barcelona sudah pastinya berkisar dengan siapakah pengganti yang sesuai untuk mengisi kekosongan ditinggalkan bintang berusia 33 tahun itu.
Bagi pemain RB Leipzig, Yussuf Poulsen, beliau mempunyai pendapat tersendiri dengan menegaskan bahawa rakan senegaranya yang beraksi untuk Tottenham Hotspur, Christian Eriksen mampu untuk menjadi pengganti buat Iniesta di Barcelona.
”Sudah tentu wujud banyak persaingan di Barcelona berbanding beraksi untuk Tottenham. Dia (Christian Eriksen) mempunyai kedudukan yang sangat baik di Tottenham ketika ini dan dia perlu memastikan jika ini adalah masa yang sesuai.”
”Sudah tentu terdapat kekosongan sekiranya Andres Iniesta meninggalkan kelab dan Christian Eriksen mempunyai kualiti yang diperlukan untuk bersaing di tahap tertinggi. Saya faham mengapa Barcelona menunjukkan minat terhadapnya.”
”Christian Eriksen adalah pemain paling efektif yang pernah bergandingan dengan saya. Kesemua tindakannya berkesan, hantaran kehadapannya, penyudah dan sepakan sudut serta sepakan percumanya.”
”Semuanya sentiasa tepat dan efektif. Saya rasa ketika menentang Ireland, dia hanya melakukan tiga atau empat kali percubaan tepat dan menjaringkan tiga gol. Itulah yang membuatkannya seorang pemain kelas dunia.”
”Saya bercakap tentang pemain yang begitu efektif dan juga seorang yang melaksanakan setiap situasi dengan tepat. Christian Eriksen salah seorang daripadanya.”
”Dia juga mempunyai sepakan percuma yang luar biasa. Dia biasa memperagakannya dan masih menunjukkan kualiti tersebut ketika di Tottenham,” jelas Poulsen kepada Omnisport.