Andres Iniesta Kisah Maestro Legenda Yang Menjadi Sistem Barcelona Dan Sepanyol

Andres Iniesta antara perkara yang menjadi simbol kepada keagungan bola sepak Barcelona dan Sepanyol pada kemuncak karier beliau. Pemain yang dikurniakan dengan kepintaran dan kemahiran bola sepak yang luar biasa.

Beliau adalah produk Barcelona yang bersama dengan pasukan tersebut sejak pada peringkat usia awal lagi. Kredit kepad Barcelona yang sentiasa percaya akan bakat beliau untuk digunakan membantu kelab pada suatu hari nanti.

Selepas berjaya menyertai kejohanan Nike Premier Cup 1999, Iniesta dilantik menjadi kapten B-15 Barcelona. Sebagai tambahan beliau menjaringkan gol lewat dalam final Nike Premier Cup 1999.

Bakat beliau menarik perhatian Barcelona dan dijemput menyertai latihan pasukan utama pada usia 15 tahun. Selepas 4 tahun bermain untuk La Masia, beliau kemudian dipromosi ke pasukan utama.

Pep Guardiola melabel Iniesta sebagai insan penting dalam karier beliau. Iniesta bukan sahaja bermain bola sepak tetapi ada kemahiran menilai bola sepak yang tinggi.

Masakan beliau tahu Pep Guardiola akan membentuk Barcelona yang kuat dengan falsafah taktikal beliau. Iniesta datang ke pejabat Pep Guardiola dan memberitahu dia menikmati dan menghayati apa yang Pep cuba terapkan dalam aspek permainan Barcelona.

Sedangkan di luar sana, ramai yang mulai sangsi kemampuan Pep Guardiola.

Luis Enrique pernah berkata, pemain ini seorang yang pendiam dan berbadan kecil. Namun apabila beliau masuk ke bilik persalinan, beliau akan membuatkan semua orang terdiam dan hormat kepada beliau.

Apabila Iniesta membuka mulut pemain lain akan ‘tunduk’ kepada beliau tak kira apa jua status mereka di dunia.

Iniesta menjadi pemain penting pada era Guardiola selepas abang Guardiola menyatakan Iniesta adalah pemain istimewa yang harus diberikan perhatian.

Guardiola pernah membentuk gandingan Iniesta dan Xavi yang menjadi fenomena di Barcelona dan Sepanyol.

Iniesta ternyata pemain yang menepati harapan Pep Guardiola. Menjadi maestro yang menghadiahkan banyak trofi kepada Pep Guardiola dan Barcelona termasuk sejarah sextuple pada tahun 2009.

Beliau adalah nama yang paling banyak muncul dalam catatan sejarah buku kejuaraan Barcelona. Setakat ini beliau sudah memenangi 8 La Liga (potensi ke-9), 7 Piala Super Sepanyol, 4 UCL, 6 Copa Del Rey, 3 Piala Super Eropah dan 3 Piala Kelab Dunia.

Dengan Sepanyol beliau telah menjuarai 2 kejohanan paling besar iaitu 1 Piala Dunia dan 1 Piala Eropah.

Jangan lupa, jaringan beliau adalah jaringan yang membawa Piala Dunia pertama ke bumi Sepanyol setelah beberapa edisi dalam sejarah Piala Dunia, Sepanyol digelar pasukan pilihan tetapi gagal juara.

Pada final Copa Del Rey 2018, beliau keluar padang dengan tangisan dan diiring sorakan ‘Iniestaaaa!!’ oleh kedua-dua kumpulan penyokong Barcelona dan Sevilla.

Beliau kemudian mengumumkan itu adalah Copa Del Rey terakhir beliau bersama Barca dan akan meninggalkan kelab tersebut pada akhir musim 2017/18.

Iniesta adalah guru bergerak yang memberikan banyak pelajaran kepada penonton bola sepak tentang aspek permainan bola sepak setiap kali beliau beraksi.

Memberikan inspirasi kepada pelajar-pelajar La Masia dan jutaan lagi pemain muda di dunia. Beliau memiliki fizikal yang kecil tetapi jiwa besar dengan kualiti kepintaran dan teknik yang membuatkan beliau sentiasa ‘besar’ di dalam padang.

Iniesta mengawal bahagian tengah dengan ketenangan, sedap dipandang, menetapkan tempo, memiliki visi serta naluri perancang yang sukar untuk dijelaskan. Bagaimana kami mahu menjelaskan lebih terperinci tentang seorang genius?

Segala yang beliau pelajari dari usia awal di Barca telah dipraktikkan dengan sebaik mungkin, bola sepak pass and move dengan beberapa falsafah khas seperti tiki taka.

Beliau adalah definisi kepada bola sepak Barcelona. Messi adalah simbol kepada pemain penyernang luar biasa Barcelona tetapi Iniesta adalah sistem. Beliau menjadi konduktir kepada orkestra dan pusat kreativiti.

Satu sinonim dan perlambangan hidup. Gandingan beliau dengan Xavi dan Busquet antara gandingan tengah terbaik dalam bola sepak dunia.

Mendiang Tito Vilanova pernah berkata:

“Iniesta bukan berlari tetapi dia meluncur di dalam padang.”

Selepas dipromosi daripada pasukan akademi, beliau bermain 2 musim di Barcelona B. Louis Van Gaal kemudian membawa beliau ke pasukan utama. Beliau menunjukkan aksi yang cemerlang dan Van Gaal membangunkan beliau menjadi pemain yang lebih ‘advance’ dalam serangan.

Van Gaal mengarahkan kejurulatihan untuk melaksanakan program latihan khas supaya Iniesta boleh menjadi lebih tajam di dalam kotak penalti.

Pada era Rijkaard, Iniesta membantu Barcelona memenangi La Liga dan UCL dalam peranan yang lebih kepada penyerang sokongan ataupun ‘false winger’. Pemain lawan sukar untuk mengawal beliau.

Dalam buku The Artist: Being Iniesta, penulis ada menyebut bagaimana Iniesta menjadi pemain yang membuatkan Guardiola belajar dan mengkaji semula peranan pemain tengah (central midfielder).

“Matanya melihat segalanya, dan beliau sangat berbakat untuk menggelecek, itu yang membuatkan beliau unik. Kemahiran menggelecek adalah segalanya pada hari ini.”

“Dengan Andres Iniesta, saya telah membuka mata tentang kepentingan peranan penyerang sayap dalam (inside forward) dan juga pemain tengah juga harus mampu menggelecek.”

“Jika beliau menggelecek, beliau membawa bola kepada rakan dan segalanya mengalir (flow) dengan baik. Saya menyaksikan benda itu ketika itu.”

Dengan corak pengurusan taktikal Guardiola di Manchester City, kita melihat bagaimana David Silva diberikan peranan yang lebih ke bawah. Impak yang jelas kepada pemain seperti Raheem Sterling yang mampu menjaringkan banyak gol.

Itulah nama legenda Andres Iniesta yang menjadi pemain yang pernah dihadiahkan kontrak seumur hidup dengan Barcelona.

Beliau adalah pemain yang bermain dengan visi dan otak lebih daripada permainan fizikal. Nisbah yang meletakkan beliau sebaris dengan nama-nama legenda lain dalam sejarah bola sepak dunia.

Tak ramai pemain Barcelona boleh menndapatkan tepukan daripada penyokong Real Madrid di Bernabeu.

Perpisahan yang sukar untuk Andres Iniesta dan Barcelona.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN