Pemain muda Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat tekad membantu The Red Warriors (TRW) mengutip tiga mata ke atas pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam esok.
Beliau yang membantu skuad Malaysia Bawah 23 Tahun meraih pingat perak dalam sukan SEA tahun lepas berkata pertemuan menentang JDT sememangnya merupakan hari yang ditunggu-tunggukan selama ini.
“Kalau dilihat beberapa perlawanan sebelum ini JDT berada dalam prestasi yang baik dan kedudukan pasukannya yang menghuni tempat teratas sukar dicabar pasukan lain.
“Untuk pertemuan Kelantan dengan JDT kali ini memang satu pertembungan yang ditunggu-tunggu peminat kedua-dua pasukan dan pastinya ia satu perlawanan yang sengit.
“Jadi pada perlawanan ini, saya dan pasukan akan buat sehabis baik kerana pasukan sudah diperkuatkan ramai pemain muda,” katanya kepada Berita Harian.
Nik Akif turut berpesan kepada rakan sepasukannya supaya bersedia 100 peratus mempertahankan pasukan sekali gus memberi saingan sengit pada malam itu.
“Walaupun lawan mahu menang tapi perlu diingat kami nak jadi pemenang malam itu, insya-Allah pasukan akan melakukan sebaik mungkin,” katanya.
Sementara itu, pengendali JDT, Raul Longhi menyifatkan skuad kendalian Fajr Ibrahim yang dibarisi kombinasi pemain muda dan senior tampak mampu melakar kejutan ke atas skuad Harimau Selatan dan mereka perlu turun dengan berhati-hati.
Menurutnya, kelibat trio import Marcos Antonio, Hariss Harun dan Gonzalo Cabrera akan menguatkan kesebelasan utama JDT bagi memburu kemenangan dalam perlawanan penting itu bagi mengekalkan kedudukan tangga teratas.
“Mereka bertiga berdepan Kelantan dan misi utama adalah mencari kemenangan walaupun kami tahu ia perlawanan sukar, tambahan pula beraksi di tempat lawan dan pasukan lawan tentu akan turun habis-habisan.
“Sudah tiga tahun saya bersama JDT dan setiap kali menentang Kelantan, pasukan itu akan bermain ‘luar biasa’ apabila berdepan JDT, malah mereka mungkin akan tampil dengan corak permainan pantas dan pasti akan memberi tekanan kepada kami.
“Bagi Kelantan apabila menentang JDT, ia ibarat perlawanan ‘istimewa’ buat mereka dan mereka pasti mahu menewaskan kami. Apa pun kami akan turun dengan taktikal berbeza bagi mengelak hilang mata kerana ketika ini kami berkelebihan empat mata di depan Pahang dan Terengganu,” katanya.
Pada masa sama, Longhi tidak menganggap Kelantan yang kini menghuni tangga ke-11 tampak lemah dalam saingan liga, sebaliknya berkata, pasukan bawahan menjadi pasukan berbahaya dan mampu melakar kejutan sekiranya pemain JDT kurang fokus.