Jaringan Marcelo & Marco Asensio Bantu Real Madrid Raih Kemenangan Di Allianz Arena

Real Madrid

Real Madrid mendapat tonik berguna dalam usaha untuk layak ke final buat kali ketiga berturut-turut setelah menumpaskan Bayern Munich 2-1 di Allianz Arena dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sebentar tadi.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri, Bayern Munich kelihatan lebih mendominasi penguasaan bola pada aksi di babak pertama.

Pemain pertahanan kedua-dua pasukan juga turut mencuri tumpuan pada separuh masa pertama.

Pemain pertahanan dari Brazil, Rafinha terlebih dahulu menguji gawang Real Madrid yang dikawal Keylor Navas dengan satu percubaan dari jarak jauh pada minit ke-19.

Navas bagaimanapun lebih bersedia untuk menangkap kemas percubaan pemain berusia 32 tahun itu.

Dani Carvajal juga berusaha untuk mencipta jaringan buat pasukan pelawat dengan percubaan dalam kotak penalti yang dilakukannya selang lima minit kemudian.

Usaha dari pertahanan kanan itu gagal membuahkan hasil setelah penjaga gol tuan rumah, Sven Ulreich tangkas bagi menghalang percubaan tersebut.

Jaringan yang ditunggu-tunggu penyokong setia Bayern Munich hadir pada minit ke-28.

Joshua Kimmich yang mendapat lorongan dari James Rodriguez tidak mensia-siakan peluang terhidang untuk menewaskan Navas bagi jaringan pembukaan buat skuad bimbingan Juup Heynckes itu.

Foto: Daily Express

Ketika aksi separuh masa pertama semakin menghampiri penghujung, Marcelo meledakkan percubaan dari luar kotak penalti yang sekaligus berjaya membolosi gawang Bayern Munich untuk kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-44.

Robert Lewandowski terlepas peluang untuk kembali memberikan kelebihan buat Bayern pada masa kecederaan selepas percubaan dari jarak dekat hasil sepakan percuma dinafikan Navas untuk keputusan terikat 1-1.

Juup Heynckes terpaksa melakukan dua pertukaran awal pada separuh masa pertama setelah Arjen Robben dan Jerome Boateng mengalami kecederaan untuk digantikan dengan Thiago Alcantara dan Niklas Sule.

Memasuki babak kedua, pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane mengeluarkan Isco untuk digantikan dengan Marco Asensio bagi memberikan idea baru buat jentera tengah pasukan dalam mencipta gerakan memburu jaringan.

Langkah itu telah menjelmakan impak pantas setelah Asensio menceriakan kem Real Madrid dengan gol kedua pada minit ke-57.

Berpunca dari kesilapan Rafinha yang melakukan tandukan lemah, Asensio menerima hantaran dari Lucas Vasquez dan seterusnya melakukan sepakan ‘lob’ rendah untuk memperdayakan Ulreich.

Tersentak dengan jaringan kedua tersebut, Bayern Munich memperkemaskan aksi untuk kembali mencari jaringan.

Namun, kecekapan Keylor Navas menghampakan mereka apabila dua peluang terbaik yang dimiliki Franck Ribery pada minit ke-59 dan 63 berjaya dinafikan penjaga gol antarabangsa Costa Rica itu.

Jaringan yang dihasilkan Cristiano Ronaldo pada minit ke-71 terpaksa dibatalkan oleh pengadil perlawanan, Bjoern Kuipers dari Belanda setelah bola terlebih dahulu terkena tangan bintang dari Portugal itu sebelum menerjah jaring.

Usaha kedua-dua pasukan untuk menambah jaringan selepas itu menemui jalan buntu untuk aksi pertama di Allianz Arena memihak Real Madrid dengan keputusan 2-1.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN