Bekas pemain yang pernah meraih kejuaraan Piala Dunia 2002 dan merupakan bintang dari Brazil, Rivaldo menegaskan bahawa rakan senegaranya, Neymar tidak akan dapat mencapai status pemain terbaik di dunia selagi beliau kekal di Paris Saint-Germain (PSG).
Menurut Rivaldo, pemain berusia 26 tahun itu perlu menyertai Real Madrid sekiranya mahu menjadi salah seorang daripada pemain terbaik di dunia.
Neymar meninggalkan Barcelona pada musim panas yang lalu bagi menyertai PSG yang mengaktifkan klausa perpindahan bagi menjadikan ianya sebagai perpindahan termahal dalam sejarah bola sepak dunia.
Bagaimanapun Rivaldo tidak melihat perpindahan sensasi tersebut dapat memberikan peluang buat Neymar untuk mencapai potensi yang penuh di Perancis.
”Saya pernah memberitahunya (Neymar), dia boleh menjadi pemain terbaik di dunia. Tetapi saya percaya jika dia kekal di PSG, ianya tidak akan berlaku. Dia perlu meninggalkan PSG,” jelas Rivaldo kepada GloboEsporte.com.
”Bola sepak baginya, jika dia menjadi yang terbaik di dunia, mesti berada di Sepanyol. Jika anda membuat analisis, di England, Sepanyol, Itali dan Jerman, semuanya berbeza. Tetapi saya bercakap mengenai bola sepak yang kompetitif.”
”Barcelona, kerana keadaannya sukar tetapi saya percaya dari apa yang saya dengar, dari orang yang memberikan informasi kepada saya, dia mempunyai peluang untuk beraksi bersama Real Madrid.”
”Kemudian, ya, saya fikir dia boleh menjadi yang terbaik di dunia.”
Neymar kini semakin pulih dari kecederaan yang dialaminya ketika beraksi bersama PSG.
Beliau dijangka akan mengetuai cabaran Brazil dalam saingan Piala Dunia 2018 di Russia bagi memperbaiki kedudukan di tempat ke-4 yang diraih empat tahun lalu.