Kemenangan 2-1 dalam saingan La Liga menerusi jaringan Isco dan Casemiro menentang Malaga bukan sahaja memberikan tiga mata penuh buat Real Madrid.
Kejayaan itu turut menghadiahkan kemenangan ke-100 buat Los Blancos di bawah kendalian pengendali dari Perancis, Zinedine Zidane dalam semua kejohanan.
Dengan kemenangan itu juga berjaya meletakkan Madrid kini ditangga ke-3 La Liga, untuk naik satu anak tangga dengan mencatatkan 67 mata.
Zidane yang juga merupakan bekas pemain tengah terbaik pernah dimiliki Real Madrid, kini dalam usaha untuk membawa kelab tersebut menjuarai Liga Juara-Juara Eropah buat kali ketiga berturut-turut.
Pada perlawanan yang berlangsung di Estadio La Rosaleda itu, Real Madrid turun beraksi tanpa Cristiano Ronaldo dan Gareth Bale.
Mereka bermula garang dengan mengasak bertubi-tubi pasukan tuan rumah sejak dari awal permainan lagi.
Pemain antarabangsa Sepanyol, Isco membuka tirai jaringan pada minit ke-29 selepas sepakan percuma yang dilakukannya terus menerjah gawang bagi menewaskan penjaga gol Malaga, Roberto Jimenez Gago.
Ketika aksi babak pertama hampir menamatkan saingan, Malaga berusaha untuk mencari jaringan.
Namun, peluang terbaik yang dimiliki Manuel Iturra selepas pertahanan Real Madrid melakukan kesilapan itu berjaya dinafikan Keylor Navas untuk perlawanan babak pertama berakhir dengan keputusan 1-0.
Anak buah Zinedine Zidane berjaya menambah jaringan kedua pada minit ke-63 menerusi Casemiro.
Pemain berusia 26 tahun itu menolak mudah bola hasil hantaran dari sebelah kanan pintu gol Malaga yang dilakukan Isco.
Malaga berjaya mendapatkan jaringan saguhati pada masa kecederaan selepas hantaran dari Federico Ricca berjaya disudahkan oleh Diego Rolan untuk perlawanan berkesudahan dengan kemenangan 2-1 buat Real Madrid.
Dengan kemenangan itu, Real Madrid telah mencatatkan kemenangan ke-20 daripada 32 perlawanan liga setakat ini dengan La Liga hanya berbaki enam perlawanan sahaja lagi.