Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah untuk mencatatkan kemenangan dalam saingan unifi Liga Super Malaysia 2018 selepas menundukkan Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) 3-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tan Sri Dato Hj Hassan Yunos, Larkin sebentar tadi.
PKNS FC mencemaskan pintu gol tuan rumah pada awal permainan selepas Khyril Muhymeen Zambri meledakkan satu rembatan dari luar kotak penalti yang berjaya diselamatkan Farizal Marlias.
Sepuluh minit kemudian, JDT turut mendapat peluang terbaik bagi membuka tirai jaringan selepas Gonzalo Cabrera menerima hantaran lintang rendah dari La Vere Corbin Ong.
Cabrera bagaimanapun gagal menyempurnakan peluang tersebut dengan tolakan yang tersasar dilakukannya.
Kesilapan tersebut ditebus oleh pemain import dari Argentina itu pada minit ke-14 setelah beliau yang mendapat umpanan dari Nazmi Faiz Mansor, melepasi kawalan dua pemain pertahanan PKNS FC lalu berjaya melakukan rembatan yang menewaskan penjaga gol pelawat, Mohd Shahril Sa’ari.
Selepas itu, kedua-dua pasukan berusaha keras untuk menambah jaringan dalam perlawanan ke-6 Liga Super ini dengan gerakan-gerakan yang dilancarkan ke kubu lawan masing-masing.
Usaha mereka bagaimanapun menemui jalan buntu dengan jaringan yang dihasilkan oleh Cabrera memisahkan kedua-dua pasukan untuk keputusan kekal 1-0 hingga tamat separuh masa pertama.
JDT terus bernafsu untuk menggandakan jaringan setelah memasuki babak kedua.
Peluang keemasan tuan rumah menjelma pada minit ke-48 apabila Ahmad Hazwan Bakri berjaya memperdayakan Shahril Sa’ari dengan satu sepakan ‘lob’ menarik, namun K.Reuben lebih pantas untuk menyelamatkan keadaan.
JDT terus mengasak ke kubu skuad bimbingan Datuk K. Rajagopal itu dan kali ini usaha tersebut membuahkan hasil apabila sepakan percuma diambil Cabrera yang terbias mengenai benteng terus menerjah gawang PKNS FC pada minit ke-50.
Keghairahan anak buah Raul Longhi tidak dapat dibendung apabila Muhammad Safawi Rasid pula meletakkan nama selaku penjaring dengan mencipta jaringan ketiga buat skuad Harimau Selatan.
Safawi melakukan sepakan ‘placing’ yang melencong sekaligus menggegar gawang PKNS FC pada minit ke-66 bagi membuatkan Shahril Sa’ari terpaku melihat jaringan ketiga JDT terhasil.
PKNS FC yang melakukan pertukaran dengan memasukkan Safee Sali, K. Gurusamy dan Alif Haikal Sabri masih gagal untuk membantu skuad ‘Semut Merah’ itu untuk mencipta sebarang jaringan untuk perlawanan tamat dengan memihak buat tuan rumah dengan keputusan 3-0.
Kemenangan ke-5 daripada enam perlawanan ini meletakkan JDT terus kekal di tangga teratas Liga Super dengan mencatatkan 15 mata.
Pemain terbaik pilihan Semuanya BOLA: Gonzalo Cabrera
JDT – Mohd Farizal Marlias (PG), Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Marcos Antonio Elias Santos, Mohamad Fadhli Mohd Shas, La Vere Lawrence Corbin Ong, Hariss Harun, Muhammad Nazmi Faiz Mansor (Safiq Rahim), Gonzalo Gabriel Cabrera Giordano (Darren Lok), Ignacio Insa Bohigues (K), Muhammad Safawi Rasid (S.Kunanlan) & Ahmad Hazwan Bakri.
PKNS FC – Mohd Shahril Sa’ari (PG), K. Reuben, Rodney Celvin Akwensivie, Azmizi Azmi, P. Gunalan (KP), Daniel Sang Ting, Jonatan Leonel Acosta (K. Gurusamy), Muhammad Fariss Ramli (Alif Haikal Sabri), Mohd Khyril Muhymeen Zambri (Safee Sali), Romel Oswaldo Morales Ramirez & Rafael Ramazotti De Quadros.