Liverpool kini menikmati kelebihan tiga jaringan menjelang pertemuan suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah bertemu Manchester City.
Bekalan tersebut ditambahkan lagi dengan kekalahan pendahulu Liga Perdana Inggeris itu ditangan musuh setempat, Manchester United pada perlawanan minggu lalu.
Namun, bagi pengendali The Reds, Jurgen Klopp semua perkara yang sedang dihadapi kelab rakan sejawatannya, Pep Guardiola itu masih belum menjanjikan tugas mudah buat anak buahnya pada perlawanan awal pagi esok.
Klopp juga menyifatkan Manchester City mampu untuk beraksi seumpama ‘ribut petir’.
”Saya menyaksikan perlawanan City bertemu United pada minggu lalu. Itu merupakan aksi terbaik pada babak pertama yang pernah saya saksikan. Mereka beraksi seperti ‘ribut petir’.”
”Kemudiannya, pada babak kedua, perlawanan telah berubah. Selepas gol pertama, satu pasukan (Manchester United) mendapatkan rentak, satu lagi pasukan (Manchester City) telah kehilangan rentak mereka.”
”Kami boleh pergi ke semua senario tersebut, dimana mereka menjaringkan gol awal atau kami mencipta jaringan awal tetapi perancangannya tidak seperti itu.”
”Saya tidak akan berkata kepada pemain saya: ”Jaringkan gol awal!”. Saya boleh melakukannya tetapi tidak pasti samada ianya membantu.”
”Ianya sama seperti separuh masa pertama ketika perlawanan di Anfield. Perlawanan masih belum tamat. Kami sedang mendahului. Tidak ada yang lain. Kami mendahului perlawanan tetapi masih belum lagi memenangi perlawanan.
Dalam pada itu, Klopp juga tidak merasakan bahawa tekanan kini di pihaknya.
”Saya tidak tahu siapa yang akan berada dalam tekanan.”
”Saya tidak meletakkan tekanan pada diri saya. Kami semakin hampir (untuk layak ke separuh akhir). Situasi kami ini adalah keadaan yang tidak mudah dalam dunia bola sepak.”
”Kami tidak kesana dengan skuad yang penuh tetapi kami tetap bersama dan kami mahu pergi sejauh yang boleh.”