Ketiadaan 2 penyerang berbisa, Lionel Messi dan Sergio Aguero bukanlah penghalang terbesar kepada skuad kebangsaan Argentina apabila mudah mengatasi Itali dengan jaringan 2-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Etihad awal pagi tadi.
Messi dilaporkan mengalami kecederaan pangkal paha ketika latihan Khamis lalu, dan penyerang Barcelona itu sekadar memanaskan bangku simpanan pada perlawanan berkenaan.
Dengan jadual domestik yang padat dan kempen Piala Dunia bakal bermula Jun ini, pemenang lima kali Ballon d’Or enggan mengambil risiko untuk mengutip kecederaan lebih serius.
Manakala penyerang Manchester Citry, Sergio Aguero masih menjalani proses pemulihan daripada kecederaan lutut yang dialaminya ketika menjalani sesi latihan bersama pendahulu Liga Perdana Inggeris itu.
Tanpa bintang utama mereka itu, skuad Argentina kendalian Jorge Sampaoli tampak tidak terjejas dan mempamerkan persembahan mantap dengan dua gol lewat permainan dijaringkan Banega dan Manuel Lanzini.
Selepas lolos ke Piala Dunia hasil hatrik Messi dalam kemenangan 3-1 ke atas Ecuador pada Oktober, Argentina diundi bersama Croatia, Iceland dan Nigeria dalam peringkat kumpulan Piala Dunia di Russia.
“Kami menganggap perlawanan ini seperti final,” kata Sampaoli yang bakal merehatkan Angel Di Maria untuk pertemuan dengan Sepanyol minggu depan selepas pemainnya itu mengalami kecederaan paha.
Sementara itu, Itali terus dirundung malang selepas gagal layak ke pusingan akhir Piala Dunia buat pertama kali sejak tahun 1958.
“Kami diatasi dengan kawalan bola mereka dan kehilangan rentak,” kata pengendali Itali, Luigi Di Biagio.
“Kami sepatutnya lebih baik di babak kedua tetapi jangan lupa siapa lawan kami.
“Kumpulan ini perlu terus dibentuk. Ramai di antaranya pemain muda yang memerlukan pengalaman. Kita perlu sedar ini adalah saat sukar buat pasukan. Kami harap semua bersabar.” jelasnya.