Ramai sudah mengetahui bahawa undian Liga Juara-Juara Eropah 2017/18 yang berlangsung petang semalam menyaksikan dua pertemuan menarik bakal dapat disaksikan.
Lebih menarik, dua wakil England, Liverpool dan Manchester City bakal berentap sesama sendiri dalam saingan berprestij Eropah itu.
Liverpool akan menanti kunjungan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu di Anfield pada 5 April nanti bagi perhitungan pertama.
Rekod pertemuan kedua-dua pasukan musim ini dalam saingan EPL agak seimbang apabila Manchester City menang 5-0 di Stadium Etihad.
Manakala Liverpool meranapkan rekod tanpa kalah skuad bimbingan Pep Guardiola dengan keputusan 4-3 di laman sendiri.
Sementara itu, satu lagi keputusan undian yang tidak keterlaluan untuk dilabelkan sebagai pertembungan menarik adalah ulangan pertemuan final Liga Juara-Juara Eropah musim lalu diantara Real Madrid bertemu Juventus.
Juventus berpeluang untuk membalas dendam di atas kekalahan 4-1 yang dialami pada perlawanan yang berlangsung di Cardiff pada bulan Jun tahun lalu.
Kelab dari Turin itu kini berada dalam ‘mood’ terbaik apabila kembali menerajui takhta Serie A untuk mendahului SSC Napoli dengan kelebihan empat mata.
Dalam perkembangan saingan yang sama, dua lagi aksi suku akhir menemukan gergasi Sepanyol, Barcelona menentang AS Roma dan wakil tunggal Jerman, Bayern Munich pula akan menentang Sevilla.