4 Pemain Merangkap Pengurus Pasukan Dalam Satu Masa (Bahagian 1)

Pengurus

Jarang kita dapat mendengarkan seseorang pemain diberikan tanggungjawab sebagai pengurus pasukan dalam tempoh satu-satu masa.

Ia ternyata bukan satu tugas mudah untuk dilaksanakan oleh individu yang telah dipertanggungjawabkan itu.

Namun, pada satu ketika terdapat beberapa pasukan yang mengamalkan konsep berkenaan di saingan liga ternama dunia.

Chelsea antara pasukan yang mencuri tumpuan apabila menggunakan konsep sedemikian terhadap tiga pemain merangkap pengurus pasukan mereka.

Pada awal musim 2019/20, kita telah mendapat perkhabaran yang mengatakan bekas kapten Manchester City, Vincent Kompany akan bertindak selaku pemain merangkap pengurus buat RSC Anderlecht di Liga Belgium. Bagaimanapun mungkin tidak tahan dengan tekanan, beliau telah meletakkan jawatan sebagai pengurus.

Mari kita kenali 4 pemain yang turut menggalas tanggungjawab sebagai pengurus pasukan dalam satu-satu masa dalam artikel bahagian 1 ini:

1) Glenn Hoddle (Swindon Town & Chelsea)

Hoddle merupakan pengurus pasukan merangkap pemain yang mahir dengan konsep tersebut apabila dua kali menggalas tanggungjawab sedemikian ketika bersama Swindon Town  (1991-1993) dan Chelsea (1993-1995).

Pada musim pertamanya bersama Swindon Town, Hoddle telah membuat penampilan dalam 26 perlawanan bagi kesemua pertandingan yang disertai. Swindon menamatkan saingan liga ditempat ke-8 dan berjaya melayakkan diri ke pusingan ke-5 Piala FA pada musim 1991/92.

Musim 1992/93 merupakan kejayaan gemilang buat Hoddle dalam kariernya selaku pengurus dan juga pemain apabila berjaya membawa pasukan bimbingannya ke Liga Perdana Inggeris setelah berjaya menewaskan Leicester City pada perlawanan akhir play off untuk ke liga utama tersebut.

Pada perlawanan itu, Hoddle turut berjaya menghasilkan jaringan pertama pasukan pada minit ke-43.

Selepas itu Hoddle memilih untuk membawa Chelsea pada musim 1993/94 juga sebagai pengurus dan pemain.

Chelsea menamatkan musim pertama dibawah kendalian Hoddle dengan berada ditangga ke-14 Liga Perdana Inggeris. Di sebalik keputusan kurang memberangsangkan itu, terdapat pencapaian yang boleh dibanggakan oleh Hoddle apabila membawa Chelsea beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA namun tewas 4-0 kepada Manchester United.

Pada musim 1994/95, Hoddle memimpin anak buahnya untuk beraksi hingga ke peringkat separuh akhir Cup Winners Cup tetapi hajat untuk ke final dinafikan oleh Real Zaragoza menerusi aggregit 4-3.

Beliau akhirnya bersara sebagai pemain pada musim tersebut. Bagi menghadapi musim 1995/96, Hoddle telah membawa masuk dua pemain bintang iaitu Ruud Gullit dan Mark Hughes ke dalam pasukan.

Chelsea masih mengekalkan kedudukan di pertengahan liga pada hujung musim serta layak ke separuh akhir Piala FA. Manchester United sekali lagi menjadi penghalang apabila berjaya menewaskan Chelsea pada perlawanan tersebut.

Hoddle melepaskan jawatan di Stamford Bridge selepas menerima tawaran untuk menjadi pengurus skuad kebangsaan England pada Mei 1996.

2) Ruud Gullit (Chelsea)

Selepas pemergian Hoddle membimbing skuad England, Ruud Gullit yang ketika itu merupakan pemain Chelsea pula dipertanggungjawabkan untuk menjadi pengurus The Blues ketika berusia 34 tahun.

Gullit tidak menunggu lama untuk menaikkan popularitinya sebagai pengurus pasukan apabila membawa masuk pemain-pemain nama besar seperti Frank Leboeuf, Roberto Di Matteo, Gianfranco Zola dan Gianluca Vialli bagi memperkuatkan jentera pasukan.

Keputusan tersebut ternyata membuahkan hasil apabila Chelsea berjaya menamatkan saingan liga musim 1996/97 ditempat ke-6 dan juga berjaya menjuarai Piala FA setelah menumpaskan Middlesbrough 2-0 menerusi jaringan Roberto Di Matteo dan Eddie Newton.

Gullit menjadi pengurus dari luar pertama yang memenangi kejuaraan utama di England.

Legenda Belanda ini telah membuat 12 penampilan liga pada musim tersebut dan menjaringkan satu gol iaitu ketika bertemu Tottenham Hotspur di White Hart Lane.

Beliau akhirnya dipecat pada bulan Februari 1998 kerana pertikaiannya terhadap pengerusi kelab, Ken Bates.

3) Gianluca Vialli (Chelsea)

pengurus

Selepas Gullit dipecat daripada tugasnya di Stamford Bridge, Chelsea mengambil langkah yang sama apabila melantik pengurus dalam kalangan pemainnya dan kini giliran Gianluca Vialli untuk menjawat jawatan pengurus merangkap pemain.

Hanya sebulan menjadi pengurus, Vialli telah mengecapi kejayaan apabila Chelsea berjaya menjuarai Piala Liga setelah menundukkan Middlesbrough pada perlawanan akhir.

Vialli juga membawa Chelsea menjuarai UEFA Cup Winners’ Cup setelah berjaya menewaskan VFB Stuttgart hasil jaringan tunggal Gianfranco Zola. Kejayaan tersebut menjadikan Vialli sebagai pengurus termuda yang memenangi saingan di Eropah sebelum rekodnya dipadamkan Andres Villas Boas pada 2011.

Dalam saingan liga pula, Chelsea menamatkan saingan ditempat ke-4 dengan mencatatkan 63 mata.

Pada musim berikutnya (1998/99) Chelsea menundukkan Real Madrid pada perlawanan Piala Super Eropah dan menamatkan saingan liga ditempat ke-3. Peningkatan yang semakin ditunjukkan selepas berada dibawah bimbingan Vialli.

Impian untuk melayakkan diri ke  UEFA Cup Winners’ Cup buat dua tahun berturut-turut berkecai apabila mereka ditewaskan oleh Real Mallorca pada aksi separuh akhir. Pada penghujung musim ini juga Vialli mengumumkan persaraan untuk fokus kepada tugas sebagai pengurus pasukan.

Musim 1999/00 memperlihatkan Chelsea berjaya mencipta kejutan menewaskan Barcelona 3-1 di Stamford Bridge, namun ianya tidak bertahan lama apabila Barcelona kembali bangkit untuk menang 5-1 di laman sendiri untuk menewaskan skuad bimbingan Vialli dalam suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Beliau akhirnya dipecat pada September 2000 ekoran prestasi buruk pada permulaan musim dan digantikan dengan seorang lagi pengurus berbangsa Itali, Claudio Ranieri.

4) Kenny Dalglish (Liverpool)

Pengurus yang mendapat gelaran King Kenny ini menggantikan Joe Fagan yang meletakkan jawatan selepas tragedi Stadium Heysel. Pada musim pertamanya selaku pengurus dan pemain, Dalglish berjaya membantu Liverpool meraih dua kejuaraan iaitu dalam saingan liga dan Piala FA.

Lebih signifikan kejayaan menjuarai dua piala tersebut adalah Liverpool berjaya mengenepikan cabaran musuh setempat, Everton dalam persaingan tersebut.

Liverpool berkelebihan dua mata dibelakang Everton dalam saingan liga manakala menewaskan lawan yang sama 3-1 pada perlawanan akhir Piala FA.

Pada musim 1987/88, Dalglish lebih banyak menumpukan tugasannya sebagai pengurus walaupun masih didaftarkan sebagai pemain.

Musim tersebut sekali lagi Liverpool berjaya menjadi juara liga dan melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala FA. Namun mereka dikecewakan oleh Wimbledon.

Liverpool hampir kembali meraih dua kejuaraan pada musim 1988/89 tetapi kelab London, Arsenal menggagalkan usaha mereka apabila berjaya menjuarai saingan liga walaupun terikat 76 mata dengan Liverpool.

Skuad Dalglish pula meraih kejuaraan Piala FA selepas menundukkan Everton dengan kemenangan 3-2.

Dalglish akhirnya mengumumkan peletakan jawatan pada tahun Februari 1991 atas alasan faktor kesihatannya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN