Jaringan tunggal dari penyerang antarabangsa Bosnia, Edin Dzeko berjaya membawa AS Roma ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah selepas menundukkan Shakhtar Donetsk 1-0 di Stadio Olimpico, Rome.
Secara aggregit, kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 2-2. Namun, AS Roma yang tewas 2-1 pada perlawanan pertama di Ukraine mempunyai kelebihan gol di tempat lawan.
Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada aksi di babak pertama.
Gol yang dinanti-nantikan penyokong tuan rumah akhirnya menjelma pada minit ke-52.
Edin Dzeko yang berjaya meloloskan diri dari kawalan pertahanan lawan menerima hantaran cantik dari Kevin Strootman dan seterusnya melakukan percubaan bagi menewaskan penjaga gol Shakhtar Donetsk, Andriy Pyatov.
Peluang Shakhtar untuk memburu jaringan penyamaan direncatkan dengan insiden layangan kad merah oleh pengadil perlawanan, Alberto Undiano kepada Ivan Ordec pada minit ke-79.
Gol tunggal yang dihasilkan Dzeko itu kekal hingga tamat perlawanan untuk mengesahkan kemaraan AS Roma ke pusingan seterusnya.