Kehadiran Patrick Cruz di Kuantan pada mulanya dipandang skeptikal oleh majoriti penyokong Tok Gajah.
Ini adalah kerana nama Patrick Cruz kurang sinonim dengan pemain import lain yang pernah berhijrah antara pasukan di Liga Malaysia.
Malah ramai juga tidak menyedari bahawa pemain kelahiran Brazil ini pernah menyarung jersi T-Team FC pada musim 2016.
‘Debut’ Cruz dalam saingan Liga Malaysia
Debut Patrick Cruz bersama Pahang dalam perlawanan menentang Selangor pada 24 Februari lalu pasti akan diingati oleh penyokong Pahang.
Apa tidaknya. Hanya 6 minit diperlukan oleh pemain ini untuk menjaringkan gol pertama peribadi, sekaligus membuktikan perjudian pihak pengurusan Pahang FA tidak silap.
Debut pemain berusia 24 tahun ini dalam saingan Liga Malaysia yang bermula dengan pasukan T-Team pada 2016 tidaklah sebaik ini.
Beliau perlu menunggu sehingga ke perlawanan ke-6 sebelum membuka akaun jaringan bersama pasukan sekaligus membantu menundukkan Kelantan 4-2 di Kuala Terengganu dua musim yang lalu.
Meskipun begitu, penampilannya bersama T-Team pada musim itu dianggap cemerlang selepas berjaya membantu pasukan tersebut layak sehingga ke saingan separuh akhir Piala Malaysia.
Di perlawanan separuh akhir pertama di Shah Alam, beliau berjaya meledak jaringan tunggal untuk T-Team, namun belum cukup untuk membantu T-Team layak ke pentas akhir selepas tewas dengan agregat 5-1 kepada Selangor.
Berkelana ke Vietnam
Sebelum mewarnai Liga Malaysia, Cruz telah menyertai Mitra Kukar di saingan Liga Indonesia pada 2015.
Semusim di Indonesia, Cruz meledak 19 gol daripada 27 penampilan.
Saingan domestik di Vietnam ternyata lebih sukar buat Cruz berbanding Indonesia.
Bersama Sai Gon pada musim 2017, beliau hanya meledak 7 jaringan dari 22 penampilan.
Kisah nombor jersi
Ketika bersama Mitra Kukar pada 2015, Patrick Cruz menyarung jersi No.9. Ia adalah sinonim dengan posisi sebagai penyerang utama di dalam sesebuah pasukan.
Namun ketika menyertai T-Team dan Saigon FC pada dua musim berikutnya, Cruz lebih selesa dengan pilihan jersi No.11.
Anda mungkin tertanya-tanya mengapa Cruz memilih No.5 ketika menyertai Pahang FA pada musim ini.
No.5 adalah jersi yang kebiasaannya dipakai oleh pemain bek tengah.
Melalui kemaskini akaun instagramnya pada 26 Febuari lalu, Cruz telah menjelaskan sebab utama disebalik pemilihan No.5 pada jersinya itu.
A post shared by Patrick Cruz (@patrickcruz) on
Beliau yang sepatutnya terbang ke Malaysia pada 5 Febuari lalu untuk menyertai skuad kendalian Dollah Salleh, terpaksa melupakan hasrat tersebut setelah beliau dan anggota keluarga yang lain terlibat di dalam nahas jalanraya ketika di dalam perjalanan ke lapangan terbang.
Rentetan daripada peristiwa itu, beliau memutuskan untuk memilih No.5 dan menyatakan rasa bersyukur kerana masih diberikan kesempatan untuk meneruskan kerjayanya sebagai pemain bola sepak profesional.
Gandingan Patrick Cruz-Forkey Doe
Gandingan Patrick Cruz dan Francis Forkey Doe pada mulanya kurang diyakini oleh penyokong bola sepak Pahang, jika dibandingkan dengan gandingan import yang pernah dibawa masuk pada musim sebelumnya.
Namun selepas 3 perlawanan (termasuk Piala FA), gandingan ini telah meledak 7 gol , dan Cruz telah menjaringkan 3 daripadanya.
Di dalam taktikal Dollah Salleh, Cruz beraksi sebagai penyerang kedua di belakang Forkey Doe.
Dengan kata lain, Cruz memainkan peranan sebagai pemain No.10; ligat membuka ruang buat pasangannya, dan rakan sepasukan yang lain.
Antara ‘moment’ yang membuktikan kesesuaian gandingan ini adalah ketika beliau membantu Forkey Doe menjaringkan gol kedua Pahang ke atas Selangor di Cheras tempoh hari.
Hantaran menggunakan ‘outside foot’ di celah-celah deretan pemain pertahanan Selangor itu adalah yang terbaik dan tepat pada waktunya bagi memberi laluan Forkey Doe merembat dari sudut sukar.
Ia turut diakui oleh Forkey Doe melalui petikan artikel yang telah dimuat naik di laman sesawang tokgajah.com sebelum ini.
Penyerang dari Liberia itu berkata tugasnya bertambah mudah sebaik beliau digandingkan dengan Cruz dan menyifatkan rakannya itu cepat memahami corak permainan antara satu sama lain.
Penutup
Permulaan meyakinkan gandingan Patrick Cruz bersama Forkey Doe mengingatkan kita kepada gandingan Matias Conte dan Dickson Nwakaeme yang pernah menjadi tunjang kekuatan Tok Gajah sebelum ini.
Walaupun kempen Liga Malaysia pada musim ini masih awal, lawan mempunyai 1001 sebab untuk merasa gerun jika prestasi semasa keduanya diambil kira.
Buat Patrick dos Santos Cruz, kami ingin mengucapkan selamat kembali dan selamat maju jaya untuk kempen Liga Malaysia 2018.