Tandukan Cristiano Ronaldo pada lewat permainan berjaya memberikan tiga mata berharga buat Real Madrid untuk menewaskan Eibar 2-1 dalam aksi yang berlangsung di Municipal de Ipurua.
Aksi di tempat lawan itu bukanlah satu perlawanan yang mudah buat Real Madrid apabila Eibar yang dibimbing Jose Luis Mendilibar memberikan saingan yang hebat terhadap mereka.
Bintang Real Madrid mencipta beberapa peluang keemasan dan usaha beliau membuahkan hasil pada minit ke-34 selepas menerima umpanan dari Luka Modric.
Ronaldo yang mendada hantaran tersebut terus meluru pantas bagi meninggalkan pemain pertahanan, Ivan Ramis untuk menewaskan Marko Dmitrovic di gawang Eibar bagi membuka tirai jaringan.
Jaringan tersebut memisahkan kedua-dua pasukan sehingga tamat babak pertama.
Memasuki babak kedua, tuan rumah tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila Ivan Ramis berjaya menanduk masuk bola berpunca dari sepakan sudut oleh Pedro Leon pada minit ke-50.
Aksi menarik ditampilkan selepas gol tersebut apabila gerakan dan percubaan demi percubaan dicipta kedua-dua pasukan untuk masing-masing memburu jaringan pendahuluan.
Cristiano Ronaldo muncul wira buat skuad bimbingan Zinedine Zidane setelah pemain antarabangsa Portugal itu menanduk masuk bola hasil hantaran lintang yang diilhamkan Dani Carvajal pada minit ke-84 untuk jaringan kemenangan buat Real Madrid.
Dengan kemenangan yang dicatatkan, Real Madrid masih kekal ditangga ke-3 La Liga dengan hanya berkelebihan satu mata dihadapan Valencia yang menghuni tempat ke-4 ketika ini.