Selepas meninggalkan Nou Camp pada musim panas yang lalu sehingga menjadikan penghijrahan beliau sebagai perpindahan termahal di dunia, Neymar dilaporkan berminat untuk kembali ke kelab lamanya.
Namun, ura-ura tersebut dinafikan oleh pengendali Barcelona, Ernesto Valverde yang mengatakan beliau langsung tidak tahu mengenai keinginan Neymar tersebut.
Pada jendela perpindahan musim panas yang lalu, Paris Saint-Germain melakukan kejutan apabila melengkapkan perpindahan bagi mendapatkan khidmat Neymar dengan nilai sebanyak €222 juta.
Kecederaan terkini yang melanda pemain antarabangsa Brazil itu menyebabkannya terlepas peluang untuk beraksi di perlawanan kedua pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah bertemu Real Madrid.
Peluang Neymar untuk beraksi dalam saingan Piala Dunia 2018 di Russia berkemungkinan akan turut terjejas.
”Saya tidak tahu dari mana datangnya berita ini,” Valverde bercakap kepada wartawan.
Ketika ditanya mengenai harga Neymar yang bakal mencecah hingga €400 juta, Valverde berkata:
”Saya tidak mempunyai idea. Tetapi dalam perkara ini, ianya bukan salah satu pilihan buat saya.”
Laporan turut mengatakan Neymar kurang menyesuaikan diri di PSG dan Real Madrid juga kelihatan sangat berminat untuk mendapatkan pemain berusia 26 tahun ini sejak beliau meninggalkan La Liga.