Pasukan dari Borneo, Sabah ternyata sangat teruja apabila bakal melayan kunjungan Juara Liga Super 4 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Likas untuk saingan Piala FA malam ini.
Malah, hebahan yang dibuat pada laman facebook rasmi Sabah FA mengesahkan tiket untuk menyaksikan perlawanan itu sudah habis dijual dan stadium dijangka akan dipenuhi oleh ribuan penyokong tuan rumah.
Mengulas mengenai perlawanan malam ini, kapten Sabah, Rawilson Batuil berkata kepada Berita Harian, dia dan rakan sepasukannya sememangnya tidak sabar untuk bertemu pasukan gergasi selatan itu dan tekad menampilkan aksi terbaik malam ini.
Beliau berkata perasaan menghadapi JDT sedikit berlainan berbanding perlawanan lain, bukannya takut sebaliknya semangat untuk mencipta kejutan semakin memuncak.
“Kami akan bekerja keras dan bermain mati-matian bertemu JDT malam ini, ini adalah aksi pertama saya bertemu dengan pasukan JDT, begitu juga dengan kebanyakan rakan-rakan lain tetapi itu bukan bermakna kami ‘segan’ bertemu dengan mereka,” katanya ketika dihubungi oleh Berita Harian.
Pemain pertahanan berusia 24 tahun itu juga berharap tuah Stadium Likas akan membantu mereka untuk mencipta kejutan, malam ini.
“Saya harap penyokong kita akan turun beramai-ramai membanjiri stadium, seterusnya menjadi ‘pemain ke-12’ untuk membantu kita.
“Mereka (JDT) bukan calang-calang pasukan, kita perlu lebih daripada kerja keras termasuk mengharapkan penyokong membantu meningkatkan semangat kami,” katanya.