Bekas jurulatih skuad kebangsaan Maldives, Darren Stewart menjadi calon kedua yang dikaitkan dengan jawatan Ketua Jurulatih Kelantan selepas jurulatih Syria, Fajr Ibrahim yang turut berada dalam senarai calon itu.
Jurulatih dari Australia itu sebelum ini pernah membimbing 3 kelab dari Liga Singapura iaitu Balestier Khalsa, Gombak United dan Woodlands Wellington.
Malah beliau pernah beraksi dalam saingan Liga Malaysia sebagai pemain untuk pasukan Johor FA pada tahun 1993 hingga 1998.
Pada aksi Liga Super antara Kelantan menentang Perak di Kota Bharu kelmarin, kelibat dua-dua calon jurulatih baharu itu kelihatan menyaksikan perlawanan tersebut.
Namun begitu, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan mendapatkan pandangan pemain dan pemangku jurulatih, Yusri Che Lah terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk melantik pengendali baharu The Red Warriors.
Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata kepada Sinar Harian, perbincangan bersama itu penting kerana pihaknya tidak mahu lagi membuat sebarang kesilapan untuk melantik barisan kejurulatihan yang berkualiti.
“Saya akan bincang dengan semua pemain dan Yusri. Setahu saya, dia (Yusri) perlukan seseorang (ketua jurulatih) yang dapat membantu menambahkan pengalamannya.
“Kita kena lebih teliti memandangkan pemain sekarang ini bukan dipilih jurulatih baharu, jadi kita perlu buat satu kesimpulan atau jalan terbaik sebelum muktamadkan perkara ini,” katanya.
Selain Fajr Ibrahim dan Darren Stewart, bekas pengemudi kelab Hong Kong Rangers kelahiran Serbia, Dejan Antonic turut berada dalam radar KAFA untuk dibawa masuk membimbing skuad pantai timur itu.
Bibi Ramjani turut mengesahkan beliau akan terus memberi kepercayaan kepada Yusri Che Lah untuk membimbing pasukan menghadapi perlawanan yang seterusnya.
“Sebagaimana perbincangan sebelum ini, saya suruh Yusri pegang (kendalikan) pasukan untuk satu perlawanan dahulu. Saya akan bincang dengan dia mengenai kedudukannya, selepas ini,” katanya.