AC Milan meneruskan rentetan kemenangan mereka dalam saingan Serie A selepas menewaskan AS Roma 2-0 di Stadio Olimpico, Rome.
Kemenangan tersebut merupakan yang keenam daripada tujuh perlawanan terakhir saingan liga buat skuad bimbingan Gennaro Gattuso.
Dua jaringan pada babak kedua menerusi Patrick Cutrone pada minit ke-48 dan Davide Calabria (minit 74) mengesahkan tiga mata penuh buat Milan.
Dengan kemenangan ini kembali meletakkan AC Milan dalam landasan terbaik untuk merebut sekurang-kurangnya slot ke Liga Europa musim hadapan.
AC Milan kini berada ditangga ke-7 apabila mencatatkan 44 mata. Berkongsi mata dengan Sampdoria tetapi kelab ditangga ke-6 liga itu berkelebihan defisit jaringan.
Sekiranya prestasi memberangsangkan ini dapat diteruskan hingga ke akhir musim, tidak mustahil buat Leonardo Bonucci dan rakan sepasukan untuk kembali melayakkan diri beraksi di Liga Juara-Juara Eropah.
AC Milan sebelum ini memulakan musim baru dengan hambar sehingga mengakibatkan pengurus sebelum ini, Vincenzo Montella dipecat dan kemudiannya digantikan dengan Gennaro Gattuso.
https://youtu.be/XXZIdFjKP48?t=40s