Lewandowski Bakal Sertai Pasukan Real Madrid?

Penyerang prolifik Bayern Munich, Robert Lewandowski kembali dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid menurut laporan daripada media eropah.

Penyerang dari Poland itu yang sudah menjaringkan 29 gol dalam semua kejohanan musim ini berpisah dengan ejen yang sudah bersamanya sejak 10 tahun lalu, Cezary Kucharski dan dikaitkan dengan seorang lagi ejen, Pini Zhavi.

Zhavi adalah ejen yang menjadikan perpindahan bintang Brazil, Neymar ke Paris Saint-Germain (PSG) yang memecah rekod dunia perpindahan termahal.

Ejen berusia 74 tahun itu antara insan penting dalam beberapa perpindahan pemain berprofil tinggi sebelum ini dan mempunyai hubungan baik dengan Real.

Lewandowski masih memiliki kontrak bersama Bayern sehingga 2021 dan merupakan penjaring terbanyak Bundesliga setakat ini dengan 20 gol. Beliau berulang kali menafikan khabar angin yang mengaitkan dirinya dengan kelab gergasi Sepanyol itu.

Bos Bayern, Jupp Heynckes ketika ditanya mengenai situasi itu berkata keputusan Lewandowski mengubah ejennya tidak mempunyai kaitan dengan perpindahan.

“Pemain dibenarkan untuk menukar ejen mereka, ia tidak bermakna apa-apa,” kata Heynckes.

“Bayern mahu, dan akan mengekalkan pemain-pemain terbaik kami.”

Media di Jerman begitupun sudah dapat menghidu berita mengenai perpindahan itu dengan akhbar sukan, Bild mendakwa Lewandowski sudah pun mengadakan perbincangan dengan Real.

Lewandowksi merupakan penjaring terbanyak Bundesliga setakat ini.

Namun begitu, Lewandowski menafikan khabar angin tersebut dan menjelaskan beliau tidak membuat apa-apa perbincangan dengan Real Madrid.

“Saya tak dengar apa-apa dari Real Madrid, saya tak tahu sama ada ejen saya ada berbincang dengan mereka.

“Media akan tulis apa yang mereka mahukan tetapi saya tidak berminat mengenainya,” katanya.

Leave a Reply