Bekas penjaga gol kebangsaan, Chow Chee Keong meninggal dunia pada pagi tadi. Berita sedih tersebut diumumkan sendiri oleh anaknya, Adrian Chow melalui satu muat naik di akaun peribadi Facebook pada pagi tadi.
Menurut muat naik di Facebook berkenaan, Adrian berkata bahawa ayahnya telah berjuang sehabis mungkin untuk kekal bersama mereka, namun menghembuskan nafas terakhir sekitar 8:08am.
Chow Chee Keong meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya.
Chee Keong merupakan pemain bola sepak profesional pertama negara, dan pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik Asia sebanyak lima kali berturut-turut oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di antara tahun 1966 sehingga 1970.
Sepanjang melibatkan diri di dalam bola sepak, Chee Keong turut pernah beraksi di England bersama Bedford Town, namun mencipta nama bersama beberapa kelab di Hong Kong.
Antara pasukan yang pernah diwakili oleh Chee Keong ialah HK Rangers, South China dan juga Tung Sing. Chee Keong merupakan penjaga gol utama negara sekitar awal 1980an.
Kehebatan Chow Chee Keong di hadapan gawang di era kegemilangannya, menyebabkan mendiang digelar sebagai Asian Steel Gate oleh komuniti bola sepak di Asia.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut mengumumkan kematian Chow Chee Keong di laman Facebook rasmi milik badan bola sepak negara itu sebentar tadi.
Kami di Semuanya BOLA turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan takziah buat keluarga mendiang Chow Chee Keong.