Leyton Orient FC Sediakan ‘Balkoni Idaman Para Penyokong Bola Sepak Di Seluruh Dunia’

Baru-baru ini, kelab gergasi Jerman, Bayern Munich telah mengumumkan kerjasama dengan rangkaian hotel Marriot untuk mewujudkan satu bilik khas di Allianz Arena.

Bermula pada musim 2018/19, para penyokong dan pelancong di kelab tersebut berpeluang untuk menyaksikan perlawanan bola sepak dari atas katil di dalam bilik mewah.

Menurut laporan laman web AS, bilik tersebut dijangka akan disediakan seperti bilik-bilik mewah rangkaian hotel berkenaan di seluruh dunia dan akan dikenali sebagai ‘The Courtyard’.

‘The Courtyard’ di Allianz Arena. Foto: Marriott.

Langkah Bayern Munich menghasilkan bilik mewah seakan-akan hotel ini mungkin adalah yang pertama, namun ada juga kelab yang telah membina lot kediaman di dalam stadium.

Rumah di dalam stadium? Wujudkah kediaman di dalam stadium dan apa perasaan anda jika anda tinggal di dalam stadium pasukan kegemaran anda?

Selamat datang ke Leyton Orient FC

Leyton Orient FC adalah sebuah kelab Inggeris yang berasal daripada London dan beraksi di divisyen lima, sistem bola sepak Inggeris yang dikenali sebagai National League.

Leyton Orient pernah beraksi semusim di divisyen tertinggi iaitu pada musim 1962/63 dan pada 1978, mereka pernah menjejakkan kaki ke peringkat separuh akhir Piala FA.

Itu adalah sejarah lama. Kini mereka terhumban sehingga ke divisyen lima selepas tersingkir daripada English Football League (EFL) League 2 (divisyen 4) pada April 2017.

Stadium Brisbane Road atau kini dikenali sebagai Stadium Matchroom. Foto: Leyton Orient FC.

Leyton Orient beraksi di Stadium Brisbane Road yang kini dikenali sebagai Stadium Matchroom, 5 batu daripada Kota London, berkapasiti 9,271 dan telah dibuka pada 1937.

Istimewanya stadium ini adalah terdapatnya empat blok flat yang disewakan kepada siapa-siapa yang berminat untuk menjadikan padang bola sepak sebagai permandangan di balkoninya.

Balkoni idaman?

Salah seorang penyewa di salah satu blok flat tersebut adalah Ben, yang terpaksa berhempas pulas meyakinkan teman wanitanya untuk menyatakan persetujuan.

“Kami telah menemui sebuah flat ketika sedang tercari-cari tempat tinggal untuk didiami. Gambar-gambar pada iklan tersebut nampak sangat menarik.

“Selepas memeriksa bahagian balkoni, saya sudah tidak peduli untuk memeriksa bahagian dapur ataupun bilik air,” jelas Ben lagi yang telah menyewa selama 6 bulan.

Secara langsung dari balkoni rumah. Foto: Andrew Butler.

“Dan yang paling mengejutkan saya adalah kos sewanya tidak jauh berbeza dengan flat-flat di kawasan sekitar tersebut,” tambahnya lagi kepada Dream Team.

“Idea untuk tinggal di dalam stadium bola sepak adalah sukar untuk diketepikan. Dan saya telah menjemput beberapa rakan saya ketika proses menandatangani kontrak.

“Dan hanya tuhan sahaja tahu bagaimana saya telah berjaya meyakinkan teman wanita saya untuk mengatakan ya kepada idea tersebut,” tambah Ben lagi.

Perasaan anda sekiranya ini pemandangan di balkoni rumah anda? Foto: Andrew Butler.

Tiada peraturan minuman keras

Itu adalah satu pengalaman yang unik kepada penyokong bola sepak apabila dapat menyaksikan perlawanan bola sepak langsung daripada balkoni rumah sendiri.

Selain itu, perbezaan antara penyokong di dalam stadium dan di rumah adalah peraturan minuman keras. Peraturan tersebut hanya termaktub untuk penyokong di stadium sahaja.

Menurut penulis Dream Team, Andrew Butler, pihak kelab telah memaklumkan tiada kesalahan untuk minum minuman beralkohol di flat tersebut kerana ianya adalah kawasan persendirian.

Leyton Orient fans watch the game from the balcony of a nearby flat (Photo by Stephen Pond – EMPICS/PA Images via Getty Images)

Namun sekiranya keadaan di balkoni tersebut nampak tidak terkawal akibat penyokong yang mabuk, pihak polis akan ambil maklum dan akan bertindak.

Oleh itu, peluang untuk minum minuman beralkohol sambil menyaksikan perlawanan bola sepak, menurut penulis, adalah sesuatu yang perlu segera direbut.

Untuk di Malaysia, perkara sebegini tidaklah penting dan sangat-sangat tidak bersesuaian kerana di Malaysia, agama Islam adalah agama rasmi persekutuan.

Pengalaman menyaksikan perlawanan dari balkoni

Menurut penulis, Andrew, yang menziarahi rumah Ben ketika perlawanan antara Leyton Orient menentang Chester, ia satu pengalaman yang mengujakan.

“Rasa seperti Maharaja Rom yang berada di dalam Colosseum, menyaksikan segalanya dengan tenang sekalipun huru hara sedang berlaku di bahagian bawah.

Pastinya pemandangan idaman kaki-kaki bola. Foto: Movetog.

Menurut Andrew, penyokong pasukan lawan juga selalunya akan bersorak, “kami dapat lihat anda sedang membasuh” kepada penyewa-penyewa flat tersebut.

Antara jaringan Leyton Orient di stadium ini yang paling diingati dalam tempoh sedekad yang lalu adalah jaringan penyamaan ketika menentang Arsenal dalam aksi Piala FA.

“Ketika itu, kamera televisyen telah memberi fokus kepada penyokong tuan rumah yang berada di flat, namun penyokong tuan rumah tersebut memakai jersi Manchester City,” ujarnya.

Tidak perlu beli televisyen kedua

Menurut Ben, tinggal di flat ini, menyaksikan perlawanan bola sepak di rumahnya seakan-akan berada di tempat khas atau dikenali sebagai ‘director box’.

“Anda akan saksikan petugas stadium melakukan pemeriksaan padang, anak-anak pemain bermain di padang selepas perlawanan, sesi ‘warm down’ dan taklimat kepada petugas serta media.

Flat bersebelahan tempat duduk penonton stadium. Foto: The Gilbert Alsop.

Menurut Ben lagi, ia satu yang menarik apabila anda akan menyaksikan perlawanan bola sepak dengan makan malam dan minuman terhidang di meja.

“Sementara pasangan anda pula dapat menonton rancangan Bake Off (rancangan memasak di England) di televisyen. Anda tidak perlu membeli televisyen kedua,” tambahnya.

Bagaimana flat boleh berada di Stadium Matchroom?

Pada 2009, Leyton Orient telah menjual stadium kepada Matchroom Sport  Limited (MSL) dengan nilai £6 juta disebabkan memerlukan modal yang besar untuk menguruskan pasukan.

Pihak MSL bersetuju untuk memajak semula stadium tersebut kepada kelab untuk tempoh 20 tahun. Dalam perjanjian tersebut, kelab tidak perlu membayar sewa untuk lima tahun pertama.

Lima tahun berikutnya, kelab terpaksa membayar sewa stadium sebanyak £180,000 secara tahunan dan kemudian akan disemak setiap lima tahun sekali.

Stadium Matchroom. Foto: Leyton Orient FC.

Untuk membiayai pembangunan stadium, beberapa bahagian di sekitar stadium telah dijual kepada pemaju hartanah. Disebabkan itulah, terdirinya empat blok flat di empat penjuru stadium.

Krisis Leyton Orient FC ini terlalu panjang untuk diceritakan. Mereka kini berada di divisyen lima, kehilangan hak ke atas stadium dan pelbagai kemungkinan lagi di masa depan.

Penutup

Memiliki kediaman di dalam stadium sememangnya idaman semua kaki bola di dalam dunia. Anda dapat menyaksikan perlawanan bola sepak langsung dari balkoni rumah sendiri.

Anda dapat memasak, makan, minum, menonton televisyen untuk mendapatkan berita terkini dan sebagainya ketika perlawanan sedang rehat babak pertama.

Dan jika perlawanan tidak memihak kepada pasukan sendiri, anda boleh memilih untuk masuk bilik tidur untuk melelapkan mata atau tonton perlawanan lain di kaca televisyen.

Kemunculan flat tersebut di Stadium Matchroom adalah atas sebab pembangunan dan keperluan kewangan pihak kelab dan bukanlah telah dirancang sejak awal.

Namun, ia satu idea yang menarik yang mungkin boleh diaplikasikan oleh kelab-kelab lain. Atau ada pasukan di Malaysia yang berminat dengan cara ini?

Kongsikan kepada kami pandangan anda tentang artikel ini. Adakah anda berminat untuk menyewa sekiranya stadium membuka lot kediaman?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN