Bekas jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah menafikan telah mendapat tawaran secara rasmi untuk jadi Ketua Jurulatih pasukan Terengganu FC II (TFC II) namun sedia mempertimbangkan jika benar pasukan itu berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
Azraai mendedahkan kepada Berita Harian, tawaran untuk melatih pasukan TFC II kekal sebagai khabar angin kerana tidak ada mana-mana pihak dari Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang merisiknya.
“Kalau ada, saya sedia pertimbangkan, bukan sahaja TFC II tapi juga mana-mana pasukan yang berminat. Pintu saya sentiasa terbuka.
“Sejak musim belum bermula, saya membaca pelbagai cerita di media sosial yang mengaitkan saya dengan beberapa pasukan tapi sehingga sekarang, tidak ada satu pun yang menghubungi saya,” jelasnya.
TFC II kini menghuni tangga kedua terbawah Liga Perdana selepas sekadar mengutip satu mata selepas tiga perlawanan.
Skuad bimbingan Mustaffa Kamal Abd Wahab itu dibelasah 4-0 oleh Sabah serta tewas 0-1 kepada MISC-MIFA serta seri 1-1 dengan Sarawak.
Prestasi buruk skuad ini membawa kepada spekulasi mengenai pertukaran jurulatih baharu dengan nama Azraai Khor menjadi sebutan berdasarkan pengalamanya dalam bola sepak tempatan.
Azraai turut menegaskan beliau tidak akan terburu-buru menerima sebarang tawaran sebaliknya akan membuat pertimbangan sewajarnya sebelum memberi kata putus.
“Saya hendak lihat dulu KPI (petunjuk prestasi utama) yang diletakkan pengurusan sama ada mampu dicapai dengan pemain yang mereka miliki.
“Tapi, apa yang paling utama adalah saya diberi kebebasan penuh untuk membentuk hala tuju pasukan termasuk pemilihan pemain kerana sama ada berjaya atau gagal saya bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya.
Azraai Khor terkenal dengan pencapaian luar biasanya ketika membantu Kedah menjuarai double trebles pada 2007 dan 2008.
Malah, beliau pernah melatih pasukan TFC II yang dulu dikenali sebagai T-Team pada musim 2014. Beliau kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan.