Sekurang-kurangnya dua pemain skuad Sarawak yang beraksi di 100Plus Liga Premier telah dicekup oleh pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) pada pagi tadi.
Tindakan berkenaan adalah susulan dakwaan mengatur perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dalam pertemuan menentang Felcra FC pada Sabtu lalu.
Laporan yang turut dikongsi oleh beberapa portal online di negeri tersebut menjelaskan dua pemain tersebut adalah merupakan pemain tempatan, dan telah beraksi bersama skuad utama Sarawak sejak beberapa musim.
Turut kelihatan di mahkamah adalah seorang lagi individu yang tidak dikenali, dipercayai orang tengah yang berperanan sebagai ‘bookie’.
Ketiga-tiga individu dibawa ke mahkamah oleh pihak SPRM pada pagi tadi untuk permohonan mendapatkan perintah reman.
Pada Sabtu lalu, Sarawak tewas 3-2 kepada pendatang baru Liga Premier, Felcra FC dengan jaringan 3-2 walaupun mendahului 2-0 sehingga ke minit akhir perlawanan.
Jaringan hatrik oleh pemain import Felcra FC, Anselmo Arruda D Silva di dalam tempoh empat minit terakhir perlawanan termasuk masa kecederaan, menimbulkan tanda tanya di kalangan penyokong dan pengurusan pasukan.
Sehubungan dengan itu, dalam satu pendedahan pada Ahad lalu, Presiden FAS melalui satu kenyataan berkata bahawa FAS telah menerima laporan perlawanan tersebut telah dipengaruhi oleh unsur rasuah.
Satu siasatan di peringkat dalaman telah diadakan untuk menyiasat dakwaan tersebut sebelum kes diserahkan kepada pihak SPRM untuk tindakan lanjut.
Namun demkian, identiti kedua-dua pemain tersebut tidak didedahkan setakat ini.
Di peringkat ini, kami difahamkan perkara ini masih di peringkat siasatan. Jika didapati bersalah, kedua-dua pemain pasti akan dijatuhkan hukuman berat berlandaskan undang-undang negara.
Ia juga pasti menjadi satu detik hitam di dalam sejarah bola sepak negeri Sarawak.
Sehingga artikel ini ditulis, kami masih menanti kenyataan rasmi daripada FAS, atau pun FMLLP sebagai badan penganjur pertandingan.